Kapsul Masa Louis Vuitton Ini ‘Membawa’ Saya Ke Tahun 1854

“Hi, marilah masuk dalam Time Capsule Louis Vuitton ni. Percuma saja!”

Seorang wanita dan lelaki lengkap berpakaian kemas dan segak menyapa saya yang ketika itu sedang bersiar-siar di perkarangan Suria KLCC dan lalu di hadapan binaan ini.

Perkataan p-e-r-c-u-m-a dan perasaan ingin tahu telah menarik saya untuk masuk ke situ seterusnya membawa saya ke tahun 1854 iaitu masa jenama Louis Vuitton lahir.

Magic malle: sebuah peti yang membawa saya menyusuri sejarah Louis Vuitton

Siapakah Louis Vuitton?

Jenama ikonik dalam dunia fesyen ini diasaskan oleh Louis Vuitton (1821–1892). Sebelum menjadi pereka dan usahawan terkenal, Louis dibesarkan dalam keluarga kelas pekerja dan kisah hidupnya mirip Cinderella tetapi versi lelaki.

Ayahnya bekerja sebagai pekebun dan telah berkahwin lain selepas kematian ibunya. Kelakuan buruk ibu tirinya dan kebosanan tinggal di kawasan pedalaman Perancis itu menyebabkan dia membawa diri ke Paris.

Louis yang baru berusia 16 tahun itu tiba di Paris dan mula belajar membuat peti simpanan pakaian. Pada zaman itu, pengangkutan utama adalah kereta kuda, bot dan tren. Keadaan perjalanan yang lasak itu menyebabkan pengembara memanggil tukang buat peti simpanan bagi melindungi barang-barang mereka.

Anak muda itu nekad untuk menjadi pakar dalam pembuatan peti simpanan atau kita panggil beg. Dia belajar daripada seorang artisan bernama Monsieur Maréchal di sebuah bengkel.

Hasil kerja Louis mendapat perhatian golongan elit terutama apabila dia bekerja dengan isteri kepada Napoleon, pemimpin empayar Perancis sebagai pembuat beg peribadi.

Louis Vuitton mengasaskan syarikatnya dan membuka gedung pertama di Paris pada tahun 1854, melalui pelbagai fasa dan terus berkembang seperti yang kita kenal pada hari ini.

Kembali ke tahun 2019

Kapsul masa ini sebenarnya merupakan pameran barang-barang klasik dan elegan keluaran Louis Vuitton (LV) yang telah wujud sejak awal kurun ke-20. Setiap barang mempunyai cerita yang tersendiri.

Rupanya pembeli beg LV ini bukan sekadar membeli beg tangan tetapi juga nilai sejarah.

Barangan ini berevolusi mengikut kemajuan teknologi dan peredaran zaman. Fokus utama pihak LV pada awal kemunculannya adalah orang yang kaki travel dan nomad yang memerlukan bagasi dan beg.

Tali pemegang beg ini diperbuat daripada kulit lembu yang berkualiti tinggi dan berwarna perang manakala sisinya diwarnakan pewarna merah dengan sulaman kuning. Selepas menggunakannya selama beberapa minggu, warna kulit tersebut sepatutnya bertukar ke warna coklat gelap. Jika tidak, ia mungkin palsu.

Selain itu, beg LV ini juga kalis air dan api. Kain kanvas untuk kalis air manakala PVC pula kalis api. Patutlah harganya mahal sungguh.

Corak monogram (reka bentuk berlambangkan huruf) pula menjadi ‘trademark’ bagi jenama ini dan direka oleh George Vuitton, anak lelaki Louis bagi menggagalkan cubaan peniru produk syarikat ini.

Apa yang menyedihkan adalah produk-produk LV yang tidak terjual akan dihantar semula ke kilang di Perancis untuk dibakar dan dimusnahkan. Tujuan tindakan drastik ini adalah bagi mengekalkan keeksklusifan jenama mereka dan mengelakkan daripada memberi diskaun.

LV pertama kali datang ke Malaysia pada tahun 2001 dengan membuka gedung pertamanya di Starhill Gallery, Kuala Lumpur.

Setelah tamat kembara dunia visual dan kreatif Louis Vuitton, saya berasa teruja apabila diberi sekeping poskad yang akan menjadi ‘keluarga baru’ kepada koleksi poskad yang telah saya kumpul dalam sebuah kotak rahsia.

Pameran ini berlangsung dari 7 hingga 28 Julai 2019 di depan Suria KLCC.

Artikel Lain Untuk Di Baca