Sebuah kapal kargo yang dipercayai membawa muatan barangan promosi 11.11 yang berlangsung baru-baru ini telah karam selepas berlaku perlanggaran di perairan Minjiang.

Memetik laporan Astro Awani, kapal kargo dari Taiwan itu dikatakan sedang membawa barangan dari TaoBao sebelum dihantar kepada para pembeli.

Difahamkan, sembilan anak kapal berjaya diselamatkan dalam kejadian itu. Walau bagaimanapun, tujuh lagi kru masih hilang dan dua disahkan maut.

Insiden itu juga menyebabkan sebanyak 879 tan barang di atas kapal tenggelam ke dalam laut.

Berita itu sekali gus memberi tamparan hebat buat para pembeli. Lebih 100 orang individu dipercayai mula membuat aduan kepada TaoBao agar memulangkan semua duit mereka sekiranya barang yang dibeli betul-betul tenggelam.

“Saya mahu duit dikembalikan jika barang tiada. Ini perkara yang amat dahsyat, saya berharap barang saya selamat,” coret salah seorang pembeli di laman Twitter.

Pihak TaoBao tampil memberi jaminan kepada semua pembeli bahawa proses pampasan akan disalurkan menerusi pembayaran AliPay dalam masa terdekat.

Pada masa yang sama, perkhidmatan pelanggan juga akan terus menghubungi pembeli bagi memudahkan kaedah pemprosesan tersebut.

Untuk rekod, insiden itu merupakan kes pertama yang melibatkan pengurusan logistik TaoBao.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda