‘Kantoi’ Main Kayu Tiga, Wanita Ini Tikam Kekasih Suami Dan Cekik Bayi 3 Minggu Sampai Mati

Selepas enam hari bertarung nyawa, seorang bayi perempuan berusia tiga minggu disahkan maut akibat dicekik. Manakala ibu mangsa pula kritikal ditikam menggunakan pemutar skru di sebuah pangsapuri di Batu Caves, Gombak, 14 November lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya telah menerima maklumat berkenaan kira-kira jam 7 pagi tadi.

“Dalam kejadian ini, bayi berkenaan meninggal dunia akibat dicekik. Ibu mangsa yang berusia 42 tahun pula cedera parah selepas ditikam menggunakan pemutar skru di belakang kepala,” katanya.

Ekoran daripada kejadian berkenaan, dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 19 sehingga 27 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam jenayah ini.

Difahamkan, suspek utama adalah seorang wanita berusia 25 tahun dan pembantu rumahnya. Motif kejadian disyaki berpunca apabila suspek mengetahui suaminya telah menjalinkan hubungan sulit dengan mangsa di rumah berkenaan.

Ibarat mencurah minyak ke bara api, amarah suspek memuncak apabila mengetahui hubungan sulit tersebut telah menghasilkan seorang bayi perempuan. Pendedahan itu telah mendorong tertuduh untuk mencederakan mangsa.

Pemutar skru yang menjadi senjata utama jenayah telah dirampas di lokasi kejadian.

Suspek dan pembantu rumahnya kini direman selama empat hari bermula dari 15 sehingga 19 November. Hukuman tersebut telah dilanjutkan kepada lima hari lagi untuk siasatan terperinci.

“Pihak kami juga sudah menahan suami suspek yang berusia 27 tahun. Ahli perniagaan itu direman selama tujuh hari bermula dari 17 sehingga 23 November bagi membantu siasatan,” ujar Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.

Pada mulanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Walau bagaimanapun, kematian bayi perempuan berkenaan telah mengakibatkan siasatan kini dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca