Kandungan Kain Kafan Ini Gemparkan Seluruh Penduduk Pasir Puteh

Penemuan sebatang pokok pisang yang dikerat empat di dalam sebuah kubur yang ditanam sejak Khamis lalu di Tanah Perkuburan Rizab Kampung Tok Kamis dekat Pasir Puteh, Kelantan telah menggemparkan seluruh penduduk.

Menurut laporan Astro Awani, kubur yang tidak bertanda itu dipercayai ditanam oleh pengamal perubatan bagi mengubati sihir salah seorang pesakitnya.

Menurut Ketua Polis Pasir Puteh iaitu Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri, sebaik sahaja menerima laporan, pihaknya bersama dua unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kota Bharu bergegas ke lokasi kejadian.

Selepas proses menggali selesai, terdapat satu bungkusan putih seakan-akan mayat ditanam di kedalaman 0.3 meter dan panjang 2.1 meter. Malah, ia juga lengkap berkain kafan persis jenazah.

“Apabila bungkusan dibuka, didapati terdapat sebatang pokok pisang dikerat empat bahagian dengan dibungkus sehelai karpet dan kain kafan,” katanya.

Salah seorang penduduk kampung berkenaan iaitu Putra Radin Muhammad mengatakan bahawa penduduk telah gempar dengan penemuan berkenaan sejak Khamis lalu lagi, namun mereka cuma membuat laporan polis semalam kerana risau sekiranya terdapat unsur jenayah memandangkan tiada kematian yang dilaporkan berlaku di sana sejak kubur baru itu wujud.

Ujarnya, sebelum ini ibunya iaitu Rahimah Ismail ada mengadu ternampak kelibat tiga orang individu sedang menanam sesuatu di tanah perkuburan itu sewaktu pulang dari surau berdekatan kawasan kubur.

“Mak ada mengadu pada penduduk lain, namun tidak dihiraukan sebelum kampung digemparkan dengan seorang penduduk ternampak satu kubur terkeluar kain kafan dan karpet di kubur yang baru dibuat di luar pengetahuan kami semua.”

“Bila lapor polis dan polis siasat rupanya hanya pokok pisang, kami risau ingatkan ada kes buang bayi atau jenayah lain,” katanya.

Difahamkan, terdapat individu yang telah mengaku bahawa dia bertanggungjawab atas perbuatan itu yang didakwa bertujuan untuk perubatan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca