Seorang bayi perempuan yang masih dalam kandungan dikatakan ‘mengandung’ kembarnya sendiri di dalam perutnya. Ia mungkin kedengaran seperti sesuatu yang pelik tetapi kejadian ini benar-benar berlaku di Barranquilla, Columbia.

Pada mulanya, seorang pakar sakit puan iaitu Dr. Miguel Parra-Saavedra mengesyaki bahawa bayi tersebut mengalami ketumbuhan di hatinya setelah melakukan pemeriksaan awal. Kemudian, setelah imbasan ultrabunyi dijalankan, beliau mendapati bahawa terdapat satu lagi janin yang lebih kecil ‘dikandung’ oleh bayi di dalam perut wanita bernama Monica Vega.

Pembedahan Caesarean terpaksa dilakukan ke atas wanita itu kerana bimbang akan keselamatan kandungannya. Sekiranya kembarnya terus membesar, organ dalaman bayi tersebut akan rosak. Pada 22 Februari 2019, bayi bernama Itzamara seberat 3.17kg selamat dilahirkan.

Tanpa membuang masa, pembedahan bagi mengeluarkan kembar bayi tersebut dijalankan oleh pakar-pakar bedah sehari kemudian. Kembarnya yang berukuran 45mm panjang dan seberat 14g itu meninggal dunia sebaik sahaja tali pusatnya dipotong. Janin tersebut mempunyai tangan dan kaki, namun tidak mempunyai jantung atau otak.

Menurut Dr. Miguel, ia merupakan perkara paling pelik dan menarik yang anda dapat lihat dalam bidang perubatan. Pada mulanya, ibu kepada bayi tersebut tidak mempercayai perkara itu. Namun begitu, selepas gambar, video dan bukti saintifik ditunjukkan, beliau mula menerima hakikat yang bayinya ‘mengandungkan’ kembar sendiri.

Kejadian tersebut dikenali sebagai ‘fetus dalam fetus’ di mana ia berlaku kerana kelewatan pembahagian sel menyebabkan kembar tersebut tidak terpisah sepenuhnya.

Terdapat pelbagai perkara yang tidak dapat dicapai dek akal fikiran manusia dalam dunia perubatan ini. Sesungguhnya dalam kehidupan kita, tiada apa pun yang mustahil. Apa-apa pun, tindakan doktor tersebut yang melakukan pemeriksaan awal terhadap kandungan wanita itu wajar dipuji.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
Sumber:

Metro News