Kanak-Kanak Seawal 8 Tahun Sudah Pandai Merokok – CAP

Fakta ini mungkin akan mengejutkan ramai, namun ia benar berlaku apabila kanak-kanak di Malaysia seawal usia lapan tahun sudah pandai menghisap rokok.

Menurut Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) iaitu N.V Subbarow, fakta tersebut adalah hasil dapatan daripada tinjauan dan pemerhatian yang dibuat oleh CAP berkenaan penggunaan rokok dalam kalangan belia.

Beliau berkata lagi, hasil tinjauan juga mendapati kanak-kanak seawal umur lima hingga tujuh tahun sudah mula terdedah dengan rokok. Perkara ini kerana apabila mereka disuruh untuk membeli rokok oleh bapa mereka di kedai runcit.

“Selain itu, akses untuk mendapatkan rokok ini pun mudah kerana ada peniaga kedai yang menjual sebatang rokok, tak perlu beli sekotak rokok pun. Jadi, dari sini kanak-kanak ini mula belajar dengan membeli sebatang rokok dan cuba menghisapnya,” ujarnya kepada Bernama.

Berikutan itu, sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia esok dengan tema ‘Belia’, beliau menyeru agar kerajaan lebih tegas dalam melindungi golongan belia termasuk kanak-kanak daripada terus dimanipulasi oleh industri tembakau dengan melarang penggunaan rokok secara tegas dalam kalangan mereka.

Menurut Subbarow, pihak Jabatan Belia dan Sukan juga harus agresif dalam memberikan pendedahan kepada golongan belia terhadap impak besar dan risiko yang bakal diperoleh hasil daripada merokok serta kesan buruknya.

“Kita lihat Jabatan Belia dan Sukan ini lebih menumpukan pada aspek mencungkil bakat belia dalam bidang sukan seperti bola sepak, namun dari sudut penggunaan bahaya merokok ini amat kurang. Sepatutnya perkara ini perlu lebih diberi perhatian kerana ia mengancam nyawa apatah lagi golongan belia merupakan harapan negara,” katanya.

Dalam masa yang sama, Presiden CAP iaitu Mohideen Abdul Kader berkata, terdapat kira-kira lima juta perokok di Malaysia dan 10 peratus daripada jumlah itu berusia di bawah 19 tahun.

“Ketika CAP membuat tinjauan pada 2019, CAP terkejut mendapati kanak-kanak sekolah menghisap vape malah terlibat dalam menjual isian semula e-cecair bagi alat e-rokok. Pada penghujung 2019, terdapat kira-kira 7,000 perasa e-rokok di pasaran. Kepelbagaian perasa yang tersedia itu adalah untuk memikat pembeli dan menjadikannya satu tabiat atau ketagih kepada nikotina,” menurutnya.

Memetik laporan khas yang dikeluarkan oleh Philip Morris pada 1981, beliau berkata, laporan itu menyebut majoriti perokok mula merokok ketika usia belasan tahun dan belia hari ini bakal menjadi pelanggan tetap rokok pada masa depan dengan mula membuat pilihan jenama pada usia remaja.

Berkaitan itu, Mohideen berkata, pihaknya mendesak kerajaan supaya memperkenalkan Akta Kawalan Tembakau bagi menggantikan Peraturan Kawalan Produk Tembakau (CTPR) 1993 yang tertakluk di bawah Akta Makanan 1983.

Beliau menyatakan lagi, tanpa pengekangan dalam industri, mustahil untuk mengurangkan RM7.4 bilion yang diperlukan oleh kerajaan untuk merawat penyakit utama yang dikaitkan dengan tabiat merokok menjelang tahun 2025.

Mohideen juga berharap Kementerian Pendidikan boleh mempertimbangkan cadangan untuk menjadikan isu kawalan tembakau sebagai sebahagian daripada silibus pendidikan di sekolah.

Diharapkan semua pihak dapat bekerjasama untuk membendung gejala negatif sebegini dalam kalangan belia. Ia dilihat agak membimbangkan jika perkara ini berterusan dan pengawalan secara agresif harus dilakukan.

Untuk baca artikel lain berkenaan rokok, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca