Kanak-Kanak Lelaki Ini Hilang Selama 2 Tahun Sehinggalah Polis Mengalih Almari Misteri Ini

Ini kisah seorang bapa mencari anaknya yang hilang. Kedengarannya seperti plot movie, tetapi ia sebenarnya realiti yang menyedihkan.

‘Mana anak aku?’ Michael Chekevdia bingung setelah mendapati bekas isteri dan anak lelakinya hilang tanpa dapat dikesan oleh pihak polis.

Hubungannya dengan Shannon Wilfong memang sudah lama retak dan semakin terbelah selepas kelahiran anak lelaki mereka, Richard (Ricky) pada tahun 2002.

Sumber gambar: Bed Timez

Michael dan Shannon cuba selamatkan bahtera rumah tangga daripada karam tetapi mereka terus bergaduh laki bini dan akhirnya memutuskan untuk bercerai. Hak penjagaan anak dikongsi bersama.

Namun Ricky terpaksa berpisah dengan ayahnya kerana Michael yang merupakan seorang tentera telah dihantar bertugas ke Iraq. Sewaktu berada di luar negara, Michael sering cuba hubungi Ricky, mengirim mesej ‘I love you, son’ dan menghitung hari bila boleh balik rumah untuk bersama dengan anak itu.

Apabila pulang ke rumah, Shannon enggan membiarkan Michael bertemu Ricky. Lelaki itu membawa kes ini ke mahkamah setelah Shannon mungkir janji dan berpaling daripada persetujuan mereka bersama. Namun bekas isterinya tidak munculkan diri. Akhirnya hak penjagaan sementara berpihak kepada Michael setelah diputuskan oleh mahkamah.

Di mana Ricky?

Shannon dan Ricky hilang! Belum sempat Michael membawa pulang anaknya ke rumah. Tiada siapa tahu ke mana mereka lari dan telah disenaraikan sebagai ‘missing’ pada tahun 2007.

Sumber gambar: Parential

Michael tak tahu nak buat apa selain membiarkan pihak polis membuat kerja mereka dan mengikut peraturan undang-undang. Kalau ikutkan hati dia rasa nak menjerit dan memecah masuk ke dalam mana-mana rumah orang bagi mencari anaknya.

Main kotor

Diane Dobbs, emak Shannon pula menuduh lelaki tersebut mendera Ricky walaupun tiada bukti. Diane percaya yang Shannon membawa Ricky ke suatu tempat yang jauh lebih selamat dari Michael.

Entah mengapa Diane begitu bersungguh memburukkan Michael kepada jiran tetangga. Siap buat risalah dan menggantung banyak poster tentang kejelikan Michael di depan rumah. Misinya adalah untuk memalit reputasi lelaki itu dengan lumpur, bukan sibuk-sibuk mencari anak perempuan dan cucunya yang hilang itu.

Michael mula syak Diane ada simpan rahsia.

Menemui jalan mati

Michael meminta pihak polis untuk menggeledah rumah bekas emak mentuanya itu. Malangnya, tiada klu dijumpai untuk selesaikan kes kehilangan Ricky.

Sumber gambar: Daily Mail

Dua tahun sudah berlalu.

Masih tiada khabar tentang Ricky namun Michael tetap tidak berdiam diri dan terus mencari anaknya di merata-rata tempat walaupun mungkin terpaksa mengambil masa seumur hidupnya.

Sehinggalah suatu hari, dia mendapat panggilan daripada pihak polis.

Almari misteri

Polis menyiasat rumah dua tingkat Diane sekali lagi secara menyeluruh di setiap sudut. Pencarian mereka menemukan sebuah almari misteri. Pegawai polis mengalih almari kayu tersebut dan melihat apa ada di sebaliknya.

Apa yang mengejutkan, di belakang almari tersebut ada sebuah lubang yang bersambung ke sebuah bilik rahsia yang sempit dan bersaiz sebesar mesin basuh. Di dalamnya, polis menemui Shannon sedang bersembunyi di situ bersama Ricky. Dua beranak itu masih hidup.

Polis telah menahan Diane kerana sembunyikan anak perempuan dan cucunya selama hampir dua tahun dan mengganggu siasatan polis.

Manakala Ricky pula berlari girang keluar ke halaman rumah seolah-olah sudah lama tidak melihat matahari. Suasana itu begitu mengharukan dan pegawai polis yang melihat telatah anak itu tidak dapat menahan rasa hiba.

Mereka bersatu semula

Michael yang dapat panggilan polis terus bergegas mendapatkan anaknya. Pencariannya selama ini akhirnya menemui jawapan. Dia sangat bersyukur kerana anaknya masih hidup dan ditemui dalam keadaan sihat. Pada masa yang sama lelaki itu tak boleh nak ‘otak’ dengan apa yang telah Shannon lakukan.

Shannon dan Diane telah berkomplot untuk mengasingkan dan menyorokkan Ricky di bilik rahsia yang sempit dan gelap dan tanpa pencahayaan yang baik sebab mereka tutup semua tingkap supaya tak ada siapa boleh jumpa budak lelaki itu demi memastikan Michael tak boleh menang dalam hak penjagaan anak.

Kedua-dua wanita ini terpaksa membayar perbuatan mereka ini dengan harga yang sangat tinggi. Diane Dobbs dijatuhkan hukuman denda $1,000 manakala Shannon pula meringkuk ke dalam penjara.

Akhirnya Michael dapat menjaga Ricky untuk selama-lamanya.

Sumber gambar: CBS News

Untuk baca artikel lain tentang kes kehilangan kanak-kanak, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca