Siapa sangka kisah fiksyen Tarzan yang berkisah tentang seorang budak lelaki yang dibesarkan oleh sekumpulan monyet menjadi cerita nyata apabila terdapat beberapa kes kanak-kanak yang hidup dan membesar bersama haiwan liar atau lebih dikenali sebagai “Feral children’.

Ikuti 6 kisah benar tentang kanak-kanak yang dibesarkan oleh haiwan liar.

1. Marina Chapman, Colombia, 1959

Marina diculik pada tahun 1954 ketika berusia 5 tahun dari sebuah kampung di pendalaman Amerika Selatan dan ditinggalkan oleh penculik itu di dalam hutan. Beliau tinggal bersama sekumpulan monyet capuchin yang kecil selama lima tahun sebelum ditemui oleh pemburu.

Selama lima tahun itu beliau hanya makan buah, akar dan pisang yang dijatuhkan oleh monyet; tidur dalam lubang pokok dan berjalan dengan keempat-empat kaki dan tangannya.

Pada satu hari, beliau mendapat keracunan makanan yang sangat teruk. Seekor monyet yang sudah tua membawa beliau ke sebuah kolam air, memaksanya minum, sehingga menyebabkan beliau muntah dan mula pulih selepas itu.

Beliau berkawan dengan monyet muda dan belajar memanjat pokok dan makanan apa yang selamat untuk dimakan daripada mereka. Beliau akan duduk di atas pokok, bermain, dan mengemas diri dengan mereka. Marina telah kehilangan kemampuan berbahasa sepenuhnya semasa diselamatkan.

Beliau kemudiannya telah dijual oleh pemburu kepada rumah pelacuran tetapi beliau melarikan diri dan hidup sebagai anak jalanan. Seterusnya beliau telah diperhambakan oleh sebuah keluarga ala mafia, sebelum diselamatkan oleh seorang jiran yang menghantarnya ke Bogotá untuk hidup bersama-sama dengan anak perempuan dan menantu beliau.

Mereka menerima Marina bersama lima anak kandung mereka. Apabila Marina mencapai pertengahan remaja, beliau telah ditawarkan pekerjaan sebagai pembantu rumah dan pengasuh oleh seorang lagi ahli keluarga. Keluarga itu bersama-sama dengan Marina berpindah ke Bradford, Yorksire di UK pada tahun 1977, di mana Marina masih tinggal sehingga hari ini.

Beliau berkahwin dan mempunyai anak-anak. Marina dan anak bongsunya, Vanessa James, bersama-sama menulis sebuah buku mengenai pengalaman liar beliau, yang dinamakan – The Girl With No Name.

2. Shamdeo, India, 1972

Shamdeo, seorang kanak-kanak yang berumur kira-kira empat tahun pada waktu itu telah ditemui di sebuah hutan di India pada tahun 1972. Beliau sedang bermain dengan anak-anak serigala ketika ditangkap. Kulitnya gelap, gigi telah diasah, kuku yang panjang dan bercangkuk, rambut kusut-masai dan dan kulit yang menebal (callus) pada tapak tangan, siku dan lutut.

Beliau gemar memburu ayam, makan tanah dan sukakan darah. Beliau pandai berhubung dengan anjing.

Akhirnya beliau berjaya diajar untuk berhenti makan daging mentah, masih tidak pandai bercakap, tetapi dapat mempelajari beberapa perkataan bahasa isyarat. Pada tahun 1978 beliau telah dimasukkan ke “Mother Theresa’s Home for the Destitute and Dying” di Lucknow, di mana beliau telah dinamakan semula sebagai Pascal. Beliau meninggal dunia pada Februari 1985.

3. Bello, Nigeria, 1996

Pada tahun 1996, seorang budak lelaki kurang upaya di Nigeria telah diselamatkan dari hutan. Dia telah ditempatkan dalam jagaan pakar di rumah kanak-kanak Tudun Miliki Torrey yang terletak di Kano. Kakitangan jururawat yang bertugas di situ menamakan budak lelaki itu sebagai “Bello”. Sebelum diselamatkan, para pemburu mendapati Bello berada bersama sekeluarga chimpanzee di Hutan Falgore.

Ketika diselamatkan, Bello dianggarkan berusia sekitar dua tahun. Bello mungkin berasal daripada kaum nomad etnik Fulani yang mengembara di rantau ini. Dia mempunyai kecacatan dari segi mental dan fizikal. Dia dipercayai ditinggalkan kerana kecacatannya itu.

Pengabaian kanak-kanak kurang upaya adalah perkara biasa di kalangan kaum Fulani namun Bello bernasib baik kerana dijaga oleh sekumpulan chimpanzee itu.

Pegawai kebajikan Bello iaitu Abba Isa Muhammad menganggarkan bahawa Bello mungkin hanya berumur enam bulan sahaja ketika dia ditinggalkan dan dijaga oleh kumpulan chimpanzee itu. Lebih mengejutkan, apabila Bello dihantar ke rumah penjagaan itu, dia mempunyai saiz dan berat seorang kanak-kanak berumur empat tahun.

Sama seperti chimpanzee, dia berjalan menggunakan kaki dan mengheret tangannya. Dia juga menepuk tangannya di atas kepala berulang-ulang kali seperti yang monyet lakukan. Dia tidak bercakap tetapi membuat bunyi seakan-akan bunyi chimpanzee.

4. Madina, Rusia, 2013

Madina hidup dengan anjing sejak lahir sehingga dia berusia 3 tahun, berkongsi makanan, bermain, dan tidur bersama-sama mereka ketika kesejukan pada musim sejuk. Ketika pekerja sosial menyelamatkan beliau pada tahun 2013, dia bertelanjang, berjalan dengan keempat-empat kaki dan tangannya dan menggeram seperti seekor anjing.

Bapa Madina telah meninggalkan keluarga itu tidak lama selepas Madina dilahirkan. Ibunya, 23 tahun, adalah seorang penagih alkohol. Ibunya sering terlalu mabuk untuk menjaga anaknya dan sering keluar rumah meninggalkan anaknya berseorangan di rumah.

Ibunya juga kerap mengundang penagih-penagih alkohol lain datang ke rumah. Ibunya yang mabuk itu akan duduk di meja untuk makan sambil anak perempuannya menggigit tulang di atas lantai seperti seekor anjing.

Madina akan lari ke taman permainan berhampiran apabila ibunya marah, tetapi kanak-kanak lain tidak akan bermain dengan beliau kerana beliau tidak pandai bercakap dan suka bergaduh. Anjing menjadi satu-satunya makhluk yang sudi menerima Madina untuk berhubung dan berkawan baik.

Doktor melaporkan bahawa Madina sihat dari segi mental dan fizikal walaupun melalui pengalaman pahit sebelum ini. Peluang untuk beliau hidup normal adalah besar sebaik sahaja beliau belajar bercakap selaras dengan kemampuan kanak-kanak yang seusia dengannya.

5. Kamala Dan Amala, India, 1920

Kamala, 8 tahun dan Amala, 12, ditemui pada tahun 1920 di sebuah sarang serigala. Ia merupakan salah satu kes kanak-kanak liar yang paling terkenal. Mereka ditemui oleh Reverend Joseph Singh, yang bersembunyi di dalam sebatang pokok di atas gua, tempat mereka berdua telah dilihat sebelum itu.

Apabila serigala meninggalkan gua, Singh dapat melihat dua gadis itu sedang bersembunyi di dalam. Gadis-gadis itu mengerikan, berlari dengan keempat-empat kaki dan tidak kelihatan seperti manusia. Beliau menangkap gadis-gadis itu tidak lama kemudian. Pertama kali ditangkap, gadis-gadis tersebut tidur bersama-sama, menderam, mengoyakkan pakaian, hanya makan daging mentah, dan melolong seperti seekor serigala.

Bentuk fizikal dua anak ini telah berubah, dengan tendon dan sendi di tangan dan kaki mereka telah menjadi pendek. Mereka tidak berminat untuk berinteraksi dengan manusia. Tetapi, deria pendengaran, penglihatan dan bau mereka adalah luar biasa. Amala meninggal dunia setahun selepas mereka ditangkap.

Kamala akhirnya belajar untuk berjalan tegak dan bercakap sepatah dua perkataan, tetapi meninggal dunia pada tahun 1929 akibat daripada kegagalan buah pinggang, berusia 17 tahun.

6. Gadis Serigala Lobo, Mexico, 1845-1852

Pada tahun 1845, penduduk kampung ternampak seorang kanak-kanak perempuan berlari dengan keempat-empat kaki dan tangannya bersama-sama dengan sekumpulan serigala menyerang sekumpulan kambing. Setahun kemudian, beliau dilihat semula dengan kawanan serigala sambil menikmati tangkapan seekor kambing.

Beliau berjaya ditangkap, tetapi berjaya melarikan diri. Pada tahun 1852, beliau dilihat menyusukan dua ekor anak serigala, tetapi kemudian lari masuk ke dalam hutan. Sejak dari itu, beliau tidak pernah dilihat lagi.

Kita patut bersyukur kerana di Malaysia tidak pernah terjadi perkara sebegini.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda