Kanak-Kanak Berusia 6 Tahun Maut Gara-Gara Jatuh Dari Jambatan Gantung

Nasib malang menimpa seorang kanak-kanak perempuan apabila dia maut gara-gara jatuh dari satu jambatan gantung di Kampung Parotawoi dekat Tongod, Kinabatangan. Kejadian ini berlaku pada Selasa lepas.

Dalam insiden kira-kira jam 12 tengah hari tersebut, Angelliena Juilan yang berusia 6 tahun dilaporkan lemas akibat terjatuh ke dalam sungai.

Difahamkan, Angelliena ketika itu bersama dengan beberapa orang rakannya dalam perjalanan pulang dari sekolah. Tiba-tiba, mangsa dipercayai terpijak satu lubang di jambatan itu menyebabkannya terjatuh ke dalam sungai lalu tenggelam.

Orang kampung yang mendapat tahu tentang nahas ini bergegas ke lokasi kejadian untuk mencari mangsa sebelum mayatnya timbul sendiri kira-kira 45 minit kemudian.

Menurut ibu mangsa iaitu Rosdianti Titi, dia bergegas ke sungai tersebut sebaik sahaja mendapat tahu apa yang telah menimpa anak kesayangannya itu.

Tambahnya lagi, sewaktu dia tiba di sana, jasad anaknya sudah ditemui dan mereka segera membawanya ke klinik berdekatan dengan harapan dia masih boleh diselamatkan.

“Tetapi, anak perempuan kami sudah tidak dapat diselamatkan,” kata Rosdianti.

“Kami tidak salahkan mana-mana pihak dan reda dengan kejadian ini.”

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca