“Kami Tidak Cukup Bagus,” Klopp Kecewa Kalah Di Leicester

Aksi saingan Liga Perdana Inggeris semalam diantara Liverpool menentang Leicester City menyaksikan pasukan kendalian Klopp tewas di laman lawan dengan jaringan satu berbalas kosong.

Kekalahan ini menjadi kekalahan pertama buat mereka sejak tewas 3-2 di tangan West Ham pada November lalu. Klopp akui bahawa Liverpool hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana mensia-siakan banyak peluang di dalam perlawanan tersebut.

Pada separuh masa pertama, The Reds dihadiahkan satu sepakan penalti atas kesalahan pemain Leicester menjatuhkan Mohammad Salah. Namun, sepakan Mohammad Salah berjaya diselamatkan oleh Kasper Schmeichel dan tandukan Salah terhadap bola lantunan semula turut gagal melepasi gawang gol.

Pada minit ke-56, setelah Liverpool gagal mencipta gol daripada peluang yang ada, Leicester akhirnya menjaringkan gol pertama selaku gol kemenangan melalui sepakan Ademola Lookman.

Ademola Lookman meraikan jaringan gol Leicester pada minit ke-56. Sumber: Utusan Malaysia

“Kami tidak cukup bagus. Kami masih ada banyak peluang. Apa yang kami lakukan dengan bola tidak betul. Kami bermain perlawanan yang buruk,” kata Klopp.

“Kami sepatutnya boleh bertahan dengan lebih baik. Biasanya kami boleh lakukannya, kenapa kami tidak melakukannya hari ini sukar untuk dijelaskan. Ada banyak persembahan di bawah tahap normal.”

Kekalahan ini turut menyukarkan lagi mereka untuk mengejar pendahulu liga, Manchester City apabila mereka kini ketinggalan enam mata dibelakang. Ia juga turut memberikan tekanan tambahan bagi mengutip mata maksimum berdepan pencabar gelaran, Chelsea pada saingan Ahad nanti.

“Ia jurang yang besar. Pada ketika ini ia bukan masalah saya. Jika kami bermain bola sepak normal, bola sepak Liverpool, kami ada peluang menang lebih banyak perlawanan,” jelasnya.

“Perkara pertama ialah tidak lagi melakukan perkara seperti ini. kami hilang rentak dan tidak begitu tenang untuk mendapatkannya semula. Itu salah kami.”

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca