Penyanyi terkenal dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi bersama delegasi Malaysia sedang berhadapan dengan cabaran perit dalam usaha menjalankan misi #wakeupGaza untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa di Gaza.
Di laman Instagramnya semalam, Heliza Helmi berkongsi keadaan yang dialami delegasi Malaysia apabila mereka terperangkap di sempadan Rafah, Mesir.
View this post on InstagramA post shared by 🎯H E L I Z A H E L M I 🎯 (@nurhelizahelmi) on
“Tiada jaminan boleh masuk atau keluar di Gaza ini. Inilah realiti kehidupan bumi dinamakan Gaza Palestin,” tulis Heliza Helmi.
Heliza berada di sana sejak 8 Julai lalu bersama-sama sukarelawan lain, termasuk adiknya, Hazwani, suami pelakon Yatt Hamzah, Zulfadhli Khairuddin dan anggota Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Mereka sepatutnya dijadualkan pulang ke tanah air pada hari ini.
Dalam perkongsiannya itu, Heliza memberitahu bahawa perjalanan untuk tembusi masuk ke Gaza sahaja sudah mengambil masa lebih 16 jam, dengan perlu melepasi satu demi satu ‘check point’ yang tiada kemudahan tempat makan dan minum serta tandas.
Menurutnya lagi, semasa mahu menunjukkan pasport, mereka ditengking dengan pihak berkuasa, dihalau dan kemudiannya perlu beratur semula.
Heliza turut memaklumkan, keadaan cuaca di sana juga panas terik sehingga mencecah 50 darjah celsius.
“Bayangkan, kami terkepung dengan ramai orang di kawasan sempit, tiada udara mahupun kipas. Apatah lagi pendingin hawa. Solat pun kena (tunaikan) di atas lantai yang berdebu dan penuh sampah. Bayangkan kalau lebih lama terkandas di sini dan bekalan makanan habis. Rangkaian internet pun tak ada.”
Saat ini juga Heliza turut memaklumkan, mereka belum tahu nasib diri dan bila dapat kembali ke tanah air.
“Kami tak tahu bila kami akan pulang, kepada semua saya mohon maaf salah silap saya kepada semua” -Heliza.
Terus mendoakan keselamatan dan kesejahteraan mereka agar pulang dengan selamat. Doakan juga saudara Islam kita yang sedang diuji dengan hebat sekali di sana.
Semoga dengan perkongsian ini dapat menjetik sedikit semangat seorang perjuang ke dalam jiwa anda kerana hidup kita adalah suatu perjuangan yang kadang terasa sangat berat, tapi bila kita meletakkan kekuatan kita kepada Tuhan maka segala perkara dapat kita tanggung kerana hadirnya kekuatan daripada-Nya.