“Kami Juga Mahu Pulang,” Pelajar IPT Rayu Kerajaan Benarkan Mereka Balik Rumah

Umum sudah tahu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan lagi dua minggu sehingga 24 April. Hal ini membuatkan para pelajar yang menetap jauh dari keluarga mula berasa tertekan apabila memikirkan sebarang kemungkinan mereka akan beraya seorang diri di kampus jika PKP masih dilanjutkan.

Semalam sejurus sahaja Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai membuat pengumuman, kecoh di Twitter dengan ciapan-ciapan daripada para pelajar yang merayu kepada menteri untuk membantu mereka yang semakin hari semakin rindukan keluarga di kampung.

Malah, ada di antara mereka yang tidak berpuas hati kenapa pelajar di luar negara dapat dibawa pulang sedangkan mereka yang duduk di dalam Malaysia masih lagi terkandas.

Rata-rata daripada mereka memberikan cadangan kepada kerajaan untuk membuat pelan tindakan bagi mengatur para pelajar yang terkandas untuk pulang ke kampung secara berperingkat. Malah, cadangan ini turut dipersetujui oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang memuat naik ciapan berkenaan isu ini.

Para pelajar juga cuba untuk mendapatkan kenyataan balas daripada Menteri Pengajian Tinggi, Dato Dr. Noraini Ahmad di Twitter. Sejurus itu, beliau memuat naik ciapan tentang usaha yang akan dibincangkan untuk memastikan para pelajar dapat pulang dengan selamat.

Hari ini, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan mereka sudah menerima cadangan tersebut. Namun begitu, mereka perlu teliti semula cadangan yang dibentangkan dengan baik kerana jumlah pelajar yang terlalu ramai boleh memberi risiko yang besar.

Hal ini membuatkan mereka perlu meminta Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengkaji semula perkara ini untuk mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

Justeru itu, diharapkan pihak kerajaan dapat memberikan inisiatif yang baik untuk membantu para pelajar yang terjejas kerana PKP ini. Kesihatan mental mereka perlu dijaga kerana jika dibiarkan lama bersendirian dalam keadaan sentiasa tertekan ia akan berikan kesan yang buruk dalam tempoh masa yang lama.

Untuk membaca artikel lain berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca