“Kami Dikhianati”, Peminat Arsenal Di China Ucap Selamat Tinggal Pada Mesut Özil

Mesut Özil mungkin merupakan antara pemain bola sepak paling diminati di dunia, namun atlet berusia 31 tahun itu kini dilaporkan sudah kehilangan kelab peminatnya di China hanya dalam masa satu hari.

Pemain tengah kelab bola sepak Arsenal itu pernah menimbulkan kontroversi pada Jumaat, 13 Disember lalu apabila dia memuat naik satu posting di laman Twitter, Instagram dan Facebook miliknya. Atlet berketurunan Jerman-Turki itu secara terang-terangan telah mengecam hebat penindasan yang dilakukan China terhadap etnik Muslim minoriti Uighyur.

Berikut merupakan terjemahan kepada kenyataan yang diberikan Özil.

Semenjak posting berkenaan menjadi tular, atlet bola sepak itu dihentam bertubi-tubi oleh warganet China terutama sekali di laman sosial Weibo di mana Özil telah meraih sebanyak empat juta pengikut.

Para peminat Özil yang mendakwa telah menyokong atlet itu selama 10 tahun kini telah membanjiri akaun Weibo Özil dan meninggalkan pelbagai mesej yang berbaur kekecewaan dan kemarahan.

Seorang peminat wanita telah memuat naik beberapa posting di Weibo di mana dia telah mengumumkan dia akan mengucapkan selamat tinggal kepada Özil meskipun sudah setia menyokongnya selama 10 tahun.

“Siapa sahaja yang tidak pernah jatuh cinta pada orang yang tidak berguna semasa muda? Selama 10 tahun saya mencintai seekor anjing,” ujar wanita itu melalui posting yang dimuat naiknya.

“Tiba masa untuk saya bertaubat. Mulai sekarang, saya akan mengucapkan selamat tinggal kepada Özil. Harapan terakhir saya adalah supaya sampah ini tidak merosakkan kelab Arsenal kesayangan saya.”

Luahan kekecewaan wanita terbabit turut dimuat naik bersama-sama beberapa keping gambar yang menunjukkan pelbagai barangan Özil termasuk jersi dan patung figura dibuang di dalam tong sampah.

Peminat-peminat lain telah membanjiri ruangan komen pada rakaman video terakhir yang dimuat naik Özil di akaun Weibonya berkata mereka berasa sangat dikhianati.

“Saya menangis teruk,” seorang peminat menulis di ruangan komen sambil menyertakan sekeping gambar yang menunjukkan poster pemain bola itu yang sudah dikoyakkan.

Seorang lagi peminat telah meninggalkan satu komen penuh emosi yang menyatakan dia berasa sangat kecewa kerana sudah terlalu lama menyokong Özil meskipun atlet itu dikritik hebat orang ramai.

“Saya berasa sungguh kecewa. Apabila dunia mengatakan kamu (Özil) tidak bagus, kami tetap menyokong kamu. Sekarang kamu sudah menjadi lebih baik dan kami berharap kamu dapat bermain bola sepak dengan penuh kegembiraan. Tetapi, kini kamu menikam kami dari belakang? Adakah kamu ini manusia?” katanya.

Artikel Lain Untuk Di Baca