“Kami Berdua Sama-Sama Beremosi,” Klopp Terangkan Insiden Simeone Enggan Bersalaman

Lawatan Liverpool ke Sepanyol membuahkan hasil yang baik apabila mereka mencatatkan kemenangan ke atas Atlético Madrid dengan jaringan tiga berbalas dua.

Setelah wisel tamat permainan dibunyikan, Diego Simeone dilihat enggan bersalaman dengan Klopp dan terus menghilangkan diri memasuki terowong.

Apabila ditanya Klopp dalam wawancara selepas permainan tentang hal tersebut, beliau berkata pada BT Sport, “Saya ingin bersalaman dengannya tapi beliau enggan. Reaksi beliau, seperti saya juga, tidaklah begitu baik.”

“Kami berdua sama-sama beremosi pada masa itu. Lain kali kami bertemu, pasti kami akan bersalaman. Ia bukanlah apa-apa. Jelas sekali beliau marah, bukan pada saya tetapi pada perlawanan tadi.”

Ia bukanlah satu malam yang baik untuk Atlético apabila gawang gol mereka dibolos dua gol seawal 13 minit permainan hasil jaringan Salah dan Naby Keïta.

Walaupun dapat mengejar kembali dan menjaring gol penyamaaan hasil jaringan Griezmann pada minit ke-20 dan 34, Atlético dikurangkan kepada 10 orang pemain apabila penyerang mereka tersebut dilayangkan kad merah pada minit ke-52.

Griezmann (dua dari kiri) dibuang padang pada minit ke-52. - Foto EPA
Sumber: Berita Harian

Akibat daripada cabaran Mario Hermoso yang menjatuhkan Diogo Jota di dalam kawasan kotak penalti, Liverpool dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-75.

Menyempurnakan sepakan penalti tersebut, Mohamed Salah menjaringkan gol kemenangan untuk Liverpool selaku gol ke-31 beliau dalam Liga Juara-Juara.

Salah kini menjadi penjaring terbanyak Liverpool dalam Liga Juara-Juara dengan 31 gol dalam 48 perlawanan. - Foto EPA
Sumber: Berita Harian

Mohamed Salah kini telah memotong rekod penjaring gol terbanyak Liverpool dalam Liga Juara-Juara yang sebelum ini dipegang Gerrard iaitu sebanyak 30 gol.

Pada minit ke-84, Atlético diberikan peluang untuk menyamakan kedudukan apabila José María Giménez dilihat dijatuhkan oleh Jota dalam kawasan kotak penalti lantas pengadil memberikan mereka sepakan penalti.

Namun setelah tinjauan VAR, pengadil menarik balik keputusan penalti tersebut kerana tiada pelanggaran.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca