Kami Belum Layak Jadi Duta Atau Ikon – Sugu Pavithra

Pasangan terkenal di Youtube ‘Sugu Pavithra’ menghargai pujian masyarakat pelbagai kaum di negara ini terhadap mereka sehingga ada yang melabelkan mereka sebagai duta perpaduan.

Malah, ada juga yang menganggap suami isteri itu wajar dijadikan ikon masyarakat.

Hal ini demikian kerana, video masakan mereka yang dimuat naik di saluran Youtube ‘Sugu Pavithra’ yang bertutur dalam Bahasa Melayu kini menjadi ikutan kepada rakyat pelbagai kaum daripada segenap lapisan umur termasuklah dari luar negara.

Walau bagaimanapun, S. Pavithra dan suaminya M. Sugu yang baharu berjinak-jinak di Youtube itu merasakan mereka belum layak untuk diangkat sebagai duta perpaduan atau ikon tertentu termasuk masakan.

Ibu kepada dua anak yang fasih berbahasa Melayu itu berkata mereka bukanlah pasangan yang sempuna dan masih ‘mentah’ sebagai pengguna Youtube.

“Kami hanya rakyat biasa sahaja, nak jadikan ikon itu sesuatu benda yang besar bagi kami, sesuaikah untuk kami? Kami belum layak kerana untuk jadi ikon kena sempurna, tiada yang sempurna dekat kami,”  katanya.

Ramai pengikut saluran Youtube itu menyatakan pasangan itu layak dijadikan duta perpaduan kerana berjaya mengumpulkan rakyat pelbagai kaum dalam saluran mereka dan melontarkan pesanan positif.

Memetik laporan Bernama, terdapat juga pengikut dari luar negara yang turut meninggalkan komen positif dan memuji kelembutan Pavithra dalam mengendalikan video.

Selain itu, Pavithra turut berkongsi berita gembira tentang pendapatan bulan ketiga daripada Youtube. Wang itu akan digunakan sebaik mungkin kerana suaminya telah berhenti kerja dengan sebuah syarikat perladangan di Sungai Siput, pada minggu lepas.

Beliau dan suaminya kemudian nekad untuk terus menghasilkan klip video masakan yang menarik selain mencari idea lain untuk dikongsikan dengan pengikut yang ada.

“Sekarang suami tidak bekerja dan apa yang berlaku tidak dijangka (mempunyai ramai pengikut), pendapatan pun ok, maka kami nak fokus sebagai pengguna YouTube,” katanya yang turut berazam untuk memiliki rumah sendiri satu hari nanti.

Sugu berkata beliau memilih untuk berhenti kerja atas dasar tanggungjawab kerana tidak mahu kerjanya sebagai pekerja ladang terganggu disebabkan memberi tumpuan untuk membuat video di Youtube.

“Sebelum ini kerap ambil cuti sebab bila ramai datang rumah saya kena tolong isteri jaga anak yang masih kecil. Jadi sekarang kami mahu fokus buat video menarik supaya dapat tingkatkan lagi pelanggan dan dapat gaji lebih,” jelasnya.

Untuk membaca artikel lain berkaitan Sugu Pavithra, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca