Mencari keseimbangan dalam waktu bekerja dan kehidupan seharian bukanlah perkara yang mudah. Kebanyakan daripada kita tersekat dalam dilema apabila perlu memilih antara kerjaya atau kehidupan normal.
Tambahan pula dengan musim pandemik Covid-19 ini yang masih melanda dan memberi risiko kepada kita dari pelbagai segi.
Kita semua harus menyesuaikan diri demi gaya kerja dan norma baharu, malah sebilangan besar mendapati mereka bekerja lebih lama dan bertambah panjang.
Seperti yang kita semua ketahui, bekerja buat durasi yang lama adalah tidak sihat untuk diri. Menurut satu kajian baru-baru ini oleh World Health Organization (WHO), dianggarkan 745,000 orang mati setiap tahun akibat bekerja berjam-jam.
Dinyatakan 75% daripada jumlah mangsa adalah lelaki dan berusia pertengahan atau lebih tua.
Penemuan lain menerusi kajian tersebut ialah mereka yang menetap di Asia Tenggara dan Pasifik Barat lebih cenderung untuk terkesan dengan waktu bekerja yang panjang. Oleh itu, mereka lebih berisiko tinggi untuk menghidap strok jika bekerja melebihi 55 jam seminggu.
Walau bagaimanapun, kajian ini hanya merangkumi tempoh antara tahun 2000-2016; ia tidak termasuk perubahan waktu kerja dan sifat pandemik yang sedang berlaku.
Namun, para pegawai WHO memperhatikan bahawa lonjakan bekerja dari rumah dan pemerosotan ekonomi global akibat wabak tersebut dapat meningkatkan risiko.
“Pandemik ini mempercepatkan perkembangan yang dapat memberi struktur ke arah peningkatan waktu kerja,” kata WHO, menganggarkan sekurang-kurangnya 9% orang telah bekerja melebihi had sewajarnya.
Artikel menarik lain untuk dibaca: