Kajian Menunjukkan Telefon Pintar Menjadikan Pengguna Semakin Kurang Pintar

Pada zaman digital ini, telefon pintar sudah menjadi keperluan asasi seperti makan nasi dalam kehidupan seharian kita. Telefon yang mengejutkan kita bangun tidur atau walaupun ada TV 24 inci depan mata, mata kita mungkin akan tetap terpaku pada skrin 4 inci tersebut.

Selain itu, boleh dikatakan hampir semua urusan kerja juga berada di dalam telefon pintar. Alat teknologi ini memudahkan kita untuk saling berhubungan dan berkomunikasi. Namun begitu, kesannya turut bakal dirasai jika digunakan secara berlebihan.

Hilary Brueck menerusi tulisannya dalam portal Business Insider menyatakan bahawa penyelidik mendapati aplikasi mudah alih dalam peranti telefon pintar telah mengambil kesempatan ke atas keperluan kita dalam perhubungan sosial dan kesannya begitu teruk sekali.

Kira-kira 89% pelajar kolej dilaporkan telah ‘dihantui’ oleh bunyi getaran telefon dan sentiasa tergerak hati untuk melihatnya walaupun tiada siapa yang menghubungi pun. Kemudian, ramai yang suka menyemak notifikasi di media sosial dan aktiviti itu biasanya berakhir dengan perasaan stress.

Robert Lustig, seorang pakar endokrinologi telah memberitahu kepada Business Insider bahawa notifikasi media sosial itu melatih otak kita untuk sentiasa berada dalam keadaan stress dan ketakutan, sesetengah bahagian otak menjadi tidak terkawal lalu menyebabkan si pelakunya bertindak bodoh dan membuat masalah.

Saintis juga mendapati bahawa penggunaan masa yang berlebihan terhadap telefon pintar menjadikan otak semakin malas berfikir dan hubungan antara pemikiran analitikal dengan kekerapan skrol telefon pintar amat berkait rapat. Kajian menunjukkan bahawa mendapatkan maklumat daripada buku lebih membentuk pemahaman yang mendalam sebenarnya berbanding mencari maklumat dalam skrin.

Selain itu, klik, post, skrol atau stalk profil orang di media sosial turut menghantar signal yang agak ‘bising’ kepada otak kita sehingga sukar untuk menampungnya terutama pada zaman ledakan informasi ini. Penemuan ini turut mengejutkan para penyelidik dan mereka berpendapat bahawa keadaan ini agak menakutkan kerana otak kita tidak boleh buat banyak sangat kerja sebenarnya.

Seterusnya, aplikasi media sosial dalam telefon pintar turut menyebabkan ramai pengguna yang mengalami depresi dan mengganggu tingkah laku seseorang. Berdasarkan kajian, aktiviti skrol Facebook telah terbukti menjadi punca kepada depresi di kalangan anak muda. Ramai responden mendakwa bahawa semakin mereka membuka akaun Facebook, semakin mereka berasa sedih.

Selain Facebook, aplikasi lain seperti Twitter turut menyebabkan ketagihan kerana ia seperti satu perjudian di mana kita tidak dapat menjangka apa yang terjadi jika post sesuatu. Semakin orang like atau komen pada gambar atau post, semakin kita gembira sehingga mahu buat lagi. Itulah yang menjadi kemahuan setiap otak manusia.

Akhir kata, telefon pintar ini bukanlah jahat sebenarnya. Ia menjadi raksasa dalam diam apabila kita sendiri yang membenarkannya menjadi begitu dan mengambil alih seluruh kehidupan kita.

Artikel Lain Untuk Di Baca