Kajian Mendapati Rakyat Singapura Lebih Takutkan Lipas Berbanding Kematian

Sebut sahaja kisah mistik dan paranormal, bulu roma yang pada mulanya keriting pun boleh berdiri tegak. Tidak dinafikan, mahkluk halus memang wujud di dunia ini. Pasti ramai pembaca di sini yang gerun apabila mendengar kisah-kisah berkaitan dengan makhluk halus, apatah lagi apabila ia bertindak memunculkan diri di depan mata.

Mana tidaknya, gangguan makhluk halus bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh kerana adakalanya, ia boleh memberi impak buruk terhadap kesihatan dan kehidupan seseorang.

Di saat ramai yang takutkan makhluk halus, satu kajian mendapati bahawa masyarakat Singapura lebih takutkan haiwan bernama lipas berbanding hantu, kematian dan juga kesunyian.

Satu kaji selidik telah dijalankan oleh agensi antarabangsa YouGov membabitkan 1,033 responden dan hasilnya mendapati bahawa lipas menghuni senarai keempat perkara paling ditakuti penduduk Singapura di belakang lemas, api dan reptilia.

Sama seperti manusia, lipas juga mempunyai tabiat buruknya yang tersendiri. Secara asasnya, lipas mempunyai satu tabiat buruk ketika makan kerana ia akan melakukan proses yang disebut sebagai regurgitasi di mana segala makanan yang dimakan akan dimuntahkan semula.

Sekiranya ia ‘singgah’ makan di pinggan kotor yang kita tinggalkan di dalam sinki, maka di situlah juga ia akan melakukan proses regurgitasi. Segala makanan yang dimuntahkan itu datang pula bersama dengan kuman-kuman berbahaya.

Malah, satu lagi kajian mendapati bahawa lipas turut membiakkan bakteria bernama Pseudomonas Aeruginosa di dalam ususnya.

Sekiranya bakteria ini tersebar kepada manusia, ia boleh menyebabkan jangkitan pada salur kencing, masalah pencernaan dan juga keradangan pada badan.

Bukan itu sahaja, lipas juga menjadi punca utama alahan kepada kanak-kanak kerana air liur dan badan haiwan perosak itu mempunyai ratusan alergen yang boleh membawa kepada ruam dan gatal-gatal.

Jadi, tidak hairanlah mengapa majoriti penduduk Singapura lebih takutkan lipas berbanding hantu, kematian dan juga kesunyian.

Artikel Lain Untuk Di Baca