Kajian Mendapati Kulit Ayam Sebenarnya Ada Khasiat Dan Bagus Untuk Jantung

Mungkin sebelum ini kita sering dengar orang ramai mengatakan bahawa kulit ayam sangatlah tidak sihat untuk dimakan memandangkan ia mempunyai banyak lemak.

Selain itu, ramai yang beranggapan bahawa kulit ayam boleh meningkatkan tahap kolestrol seseorang dan sekali gus menyumbang kepada masalah kesihatan seperti darah tinggi dan penyakit jantung.

Oleh sebab itu, ramai yang memilih untuk menyingkirkan kulit ayam daripada menu terutamanya mereka yang menjaga berat badan kerana bimbang ia akan memberi kesan buruk kepada kesihatan mereka.

Jika anda merupakan ‘hantu’ kulit ayam, anda tidak perlu risau lagi kerana kajian terbaharu mendapati bahawa ia sebenarnya tidak menyebabkan sebarang masalah kesihatan terutamanya terhadap jantung.

Kajian yang dijalankan oleh beberapa orang pakar kesihatan di Universiti Harvard itu juga mendapati kulit ayam yang sering dibuang itu sebenarnya mempunyai banyak khasiat. Percaya atau tidak, ia sangat bagus untuk jantung anda!

Menurut kajian itu, lemak yang terdapat pada kulit ayam sebenarnya tergolong dalam kategori tidak tepu. Lemak jenis ini dikatakan mampu mengurangkan tekanan darah tinggi dan paras kolesterol yang tinggi disebabkan hormon seseorang.

Kalori yang terdapat dalam kulit ayam juga tidak terlampau tinggi sehingga boleh menyebabkan kegemukan.

Di samping itu, kewujudan kulit ayam dalam sesuatu masakan menjadikan ia lebih lazat dan anda tidak perlu lagi menambah banyak garam untuk menjadikannya lebih sedap.

Memetik laporan Astro Awani, kulit ayam juga berfungsi sebagai penghalang kepada minyak daripada terus menyerap masuk ke dalam daging ayam menjadikan juadah itu jauh lebih sihat.

Jadi, anda tidak perlu risau lagi untuk makan kulit ayam selepas ini!

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca