Kajian Dapati Pesakit COVID-19 Yang Hamil Boleh Jangkiti Bayi Dalam Kandungan

Satu kajian terbaharu menguatkan lagi dakwaan bahawa wanita hamil yang dijangkiti wabak COVID-19 berkemungkinan boleh menjangkiti bayi yang berada dalam kandungan.

Penyelidik dari Itali mengatakan bahawa mereka melakukan kajian terhadap 31 pesakit COVID-19 yang hamil dan melahirkan anak pada Mac dan April.

Dalam kajian tersebut, mereka menemukan tanda-tanda virus pada beberapa sampel darah tali pusat, plasenta dan satu kes ditemukan dalam susu ibu.

Sumber: MIT

Menurut Pakar Imunologi di Universiti Milan iaitu Dr. Claudio Fenizia, kajian mereka menunjukkan bahawa jangkitan koronavirus baharu ini berpotensi untuk tersebar daripada ibu ke bayi sebelum lahir.

“Kajian kami menunjukkan bahawa jangkitan SARS-CoV-2 berpotensi tersebar daripada ibu kepada bayi.

Pada dasarnya, kami memerlukan lebih banyak kajian dengan lebih banyak kes, tetapi kami juga perlu mengkaji apa yang terjadi jika ibu dijangkiti pada awal kehamilan,” kata Dr. Claudio.

“Terlalu awal untuk mengesyorkan ibu positif SARS-CoV-2 untuk tidak menyusu kerana data kami tidak mencukupi untuk menilai potensi risiko penyusuan,” tambah Dr. Claudio lagi.

Kajian tersebut bagaimanapun dikatakan masih memerlukan lebih banyak penelitian terutamanya kepada wanita yang dijangkiti COVID-19 di awal kehamilan berbanding responden wanita dalam kajian itu.

Sebelum ini, pakar kesihatan tertanya-tanya adakah jangkitan di dalam rahim boleh berlaku dalam kes COVID-19.

Memetik laporan Astro Awani, HIV, Zika dan beberapa virus lain dapat menjangkiti janin dengan cara sedemikian dan beberapa laporan awal dari China menunjukkan COVID-19 juga berkemungkinan terjadi perkara yang sama.

Untuk rekod, kajian baharu itu telah melibatkan wanita di tiga hospital semasa COVID-19 memuncak di utara Itali.

Kata Dr. Claudio, dalam satu kes, para penyelidik mendapati terdapat bukti kukuh menunjukkan bahawa bayi yang baru lahir positif COVID-19 setelah virus tersebut ditemukan di dalam darah tali pusat dan plasenta.

Dalam kes lain pula, bayi yang baru lahir mempunyai antibodi terhadap koronavirus yang tidak menyeberangi plasenta, jadi ia tidak berasal dari ibu dan disebabkan oleh pendedahan langsung janin kepada virus.

Dr. Claudio bagaimanapun berkata kemungkinan jangkitan janin agak jarang berlaku.

Hanya dua daripada bayi yang baru lahir positif wabak tersebut semasa dilahirkan dan kedua-duanya tidak mengalami sebarang kesakitan akibat virus.

Sementara itu, pakar kehamilan di Nyu Langone Health iaitu Dr. Ashley Roman mengatakan bahawa beliau dan rakannya juga mengesan zarah virus pada bahagian janin plasenta dalam beberapa daripada 11 kes yang mereka kaji.

“Saya rasa abstrak ini secara khusus menyokong dapatan kajian yang menunjukkan bahawa penularan janin adalah kemungkinan.

Tetapi apa yang saya mahu juga katakan ialah penularan janin nampaknya merupakan sesuatu yang sangat jarang terjadi.

Perkara paling penting yang perlu diketahui oleh wanita hamil adalah penjarakan sosial. Penting untuk memakai pelitup muka dan mencuci tangan.

Wanita tidak perlu dipisahkan daripada masyarakat sepenuhnya, tetapi mereka harus prihatin terhadap kesannya untuk kesihatan diri sendiri semasa mengandung,” kata Dr. Ashley.

UNICEF, agensi kanak-kanak di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesyorkan agar para ibu yang dijangkiti COVID-19 supaya mengenakan pelitup muka semasa menyusu.

Untuk baca artikel-artikel lain berkenaan penularan wabak COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca