Perkahwinan merupakan ikatan suci antara dua hati. Namun menurut pakar undang-undang Arab, Ahamad Al Maabi, perkahwinan itu sukar bertahan lama apabila berlaku tidak bersefahaman dan tiada tanggungjawab daripada kedua-dua belah pihak.
“Perkahwinan itu akan gagal jika tiada asas dan kepercayaan yang kukuh.” kata Al Maabi kepada akhbar Al Watan.
Berikut kompilasi 4 kes perceraian paling pantas yang pernah dilaporkan berlaku di negara-negara Timur Tengah dengan alasan yang sukar untuk diterima akal dan pengantin-pengantinnya yang tidak sempat mengecap kemanisan alam rumah tangga:
1. Bercerai ketika sedang berbulan madu.
Seorang wanita telah meminta cerai daripada suaminya yang berasal dari Iran walaupun secara teknikalnya, mereka masih berada dalam fasa bulan madu. Hal ini kerana suaminya sering menyuruhnya membayar itu ini termasuk barang-barang runcit, perabot rumah bil air dan elektrik.
Suaminya yang muda 13 tahun daripadanya tidak pernah mengeluarkan duit sesen malah mula mengabaikannya. Tidak tahan dilayan begitu, wanita ini nekad memfailkan perceraian sebelum bulan madu mereka berakhir.
2. Ditinggalkan ketika malam pertama.
Menurut Gulf News, seorang pengantin lelaki telah menceraikan isterinya pada malam pertama kerana isterinya sibuk berhubung dengan kawan-kawannya dalam telefon pintar berbanding melayannya. Ceritanya, lelaki tersebut membawa isterinya ke hotel dan cuba merapatinya tetapi dia terkejut kerana isterinya tiada sebarang reaksi.
Alasan isterinya, dia sibuk melayan kiriman ucapan tahniah daripada rakan-rakannya di atas perkahwinannya. Si suami menyuruh isterinya berhenti tetapi dia enggan dan marah pada suaminya.
Apabila ditanya adakah kawan lebih penting berbanding dirinya? Isterinya menjawab “Ya.” Serta-merta lelaki itu menceraikan isterinya dan meninggalkan hotel.
3. Diceraikan ketika majlis perkahwinan sedang berlangsung.
Setiap wanita pasti mengimpikan hari majlis perkahwinannya menjadi hari yang paling indah dalam hidupnya. Namun bagi wanita Arab Saudi ini, perkahwinan yang diaturkan oleh keluarga mungkin meninggalkan kesan trauma buat dirinya.
Pasangan ini bersetuju untuk tidak berjumpa dan melihat wajah masing-masing sehinggalah hari perkahwinan tiba. Ketika pengantin lelaki melihat wajah isterinya buat kali pertama, dia naik berang lalu menceraikan isterinya ketika majlis sedang berlangsung hanya kerana wajah isterinya tidak sama seperti yang dibayangkan selama ini.
Pengantin perempuan tersebut terus jatuh pengsan dalam deraian air mata, para tetamu mula kecoh dan hari bahagianya bertukar menjadi tragik.
4. Mereka berkahwin selama tiga minit.
Media Kuwait telah melaporkan pasangan pengantin dari Kuwait ini telah mengakhiri perkahwinan mereka sebelum meninggalkan pejabat mahkamah lagi. Setelah menandatangani surat nikah di hadapan hakim, pasangan tersebut berjalan keluar daripada mahkamah tersebut.
Tiba-tiba pengantin perempuan terjatuh. Pengantin lelaki dilaporkan tidak membantunya malah siap memanggilnya “bodoh” kerana tergelincir.
Perempuan itu berasa terhina lalu terus menyuruh hakim membatalkan perkahwinan mereka on the spot. Usia perkahwinan mereka hanyalah tiga minit.