Baru-baru ini, tular di laman Twitter tentang satu kafe berkonsepkan 2D yang sememangnya Instagram-worthy. Menurut pemilik 2D Bubble Tea Cafe yang terletak di Sunway GEO Avenue, Subang Jaya iaitu Toh Jung Jin dan See Khai Shen, idea untuk menubuhkannya diinspirasikan daripada kafe 2D di Korea.

Terdapat 2 konsep dekorasi di kafe yang baru sahaja dibuka pada Sabtu lepas ini. Pertama sekali, apabila melangkah masuk, konsep yang diketengahkan merupakan konsep Barat di mana terdapat lukisan Mona Lisa, Creation of Adam dan sebagainya.

Di bahagian dalam kafe tersebut pula, dekorasinya lebih kepada konsep Asia. Dalam erti kata lain, pengunjung seolah-olah sedang melangkah masuk ke dalam rumah Jepun. Bukan itu sahaja, meja Jepun turut digunakan untuk mengetengahkan tema ini.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa 2D Bubble Tea Cafe ini sebenarnya dimiliki oleh pengasas yang sama seperti La Fleur Cafe yang berkonsepkan unicorn di mana ia juga pernah tular di media sosial sebelum ini. Malah, kedua-dua kafe ini terletak di bangunan yang sama. Jadi, bagi mereka yang berniat untuk berkunjung ke sana, bolehlah berkunjung ke dua-dua kafe tersebut sekali gus!

2D Bubble Tea Cafe ini sesuai untuk semua peringkat umur. Malah, ruang di kafe ini juga dibuka untuk sewaan bagi apa-apa acara. Selepas ini, bolehlah membuat sambutan hari lahir di sini. Pasti Instagram feed anda makin cantik nanti dengan gambar-gambar di kafe ini!

Sudah nama pun kafe, pasti ada menu yang ditawarkan di sini. Menurut pemiliknya, oleh sebab 2D Bubble Tea Cafe ini masih terlalu baru, menunya juga masih belum dimuktamadkan sepenuhnya. Buat masa ini, menu yang ditawarkan ialah makanan Barat seperti Pasta Gochujang Chicken dan Thick Toast Crabmeat.

Tetapi, highlight di kafe ini ialah bubble tea. Malah, ia datang dengan packaging yang sangat menarik. Memang Instagrammable habis! Begitu juga dengan makanannya. Mereka sangat mengambil berat tentang tema yang cuba diketengahkan.

Waktu operasi bagi kafe ini juga masih belum muktamad. Buat masa ini, ia dibuka seawal jam 8 pagi hingga 12 tengah malam. Menurut pemiliknya, pelancaran 2D Bubble Tea Cafe ini mungkin akan diadakan pada hujung bulan ini. Jadi, apa anda tunggu lagi? Jadilah mereka yang terawal untuk berkunjung ke sini. Jangan lupa untuk tangkap gambar banyak-banyak!

Alamat:
2D Bubble Tea Cafe,
F-03-10, Sunway GEO Avenue,
Subang Jaya, Selangor.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda