K-Lejen: Janji Aksi Balas Dendam Lebih Tegang, Bahagian Kedua ‘The Glory’ Dedah Trailer Rasmi

Siapa di sini yang pernah menonton bahagian pertama The Glory? The Glory merupakan sebuah drama yang menggambarkan penderitaan dan seksaan yang dihadapi oleh mangsa buli sekolah.

Ditayangkan pada 30 Disember tahun lalu, bahagian pertama The Glory mengikuti kisah Moon Dong-eun (Song Hye-kyo) yang pernah menjadi mangsa buli ketika di sekolah menengah.

Dong-eun menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang arkitek ketika di sekolah menengah tetapi nasib tidak menyebelahi dirinya selepas dia menjadi mangsa buli.

Atas sebab itu, Dong-eun terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti daripada sekolah menengah dan merancang untuk membalas dendam kepada pembuli-pembulinya.

Pembuli-pembuli Dong-eun. Sumber: Instagram @limjjy2

Wanita itu yang dahulunya merupakan seorang mangsa buli sekolah kini menjadi guru kelas kepada anak ketua pembulinya. Apa yang akan berlaku seterusnya? Anda perlu menonton bahagian kedua The Glory pada 10 Mac ini!

Trailer rasmi bahagian kedua The Glory

Untuk menambah keterujaan penonton, Netflix telah mendedahkan trailer rasmi bahagian kedua The Glory pada Khamis lalu. Video itu bermula dengan Park Yeon-jin (Lim Jiyeon) berkata tanpa perasaan serba salah, “Pengampunan? Siapa yang patut memaafkan siapa? Saya tak buat apa-apa salah, Dong-eun.”

Ia membuatkan Dong-eun lebih marah dan membuatkan wanita itu memberikan bayangan awal kepada Yeon-jin tentang misi balas dendamnya yang baru sahaja bermula. Adakah misi balas dendam Dong-eun akan berjaya atau sebaliknya?

Nasib setiap watak berada di tangan Dong-eun

Bahagian kedua drama karya penulis terkenal Kim Eun-sook ini lebih fokus kepada watak Dong-eun yang akan membalas dendam kepada setiap pembulinya.

Selain itu, poster-poster yang baru dikeluarkan untuk bahagian kedua The Glory pada Khamis lalu menampilkan Dong-eun dengan setiap lapan watak yang saling berkaitan dengannya seperti Joo Yeo Jeong (Lee Dohyun), Kang Hyeon Nam (Yeom Hye Ran) dan Ha Do Yeong (Jung Sung Il).

Dalam setiap tiga poster, Dong-eun berdiri di sebelah kanan dan memandang mereka sama ada dengan pandangan penuh kasih sayang atau senyuman lembut.

Sumber: Instagram @netflixkr
Sumber: Instagram @netflixkr

Ia sama sekali berbeza daripada pandangan dan sikap Dong-eun kepada pembuli-pembulinya iaitu Yeon-jin, Jeon Jae-jun (Park Sung-hoon), Lee Sa-ra (Kim Hieora), Choi Hye-jeong (Cha Joo-young) dan Son Myeong-oh (Kim Gun-woo).

Anda boleh melihat pandangan Dong-eun penuh dengan perasaan dendam dan marah terhadap pelaku yang membuat hidupnya sengsara dan membuatkan dia menghabiskan seluruh hidupnya untuk membalas dendamnya kepada mereka.

Sumber: Instagram @netflixkr
Sumber: Instagram @netflixkr

Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan bahagian kedua The Glory yang bakal menemui para penonton di aplikasi penstriman Netflix pada 10 Mac ini!

Untuk baca artikel-artikel berkaitan K-Lejen, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca