Seorang jutawan syarikat pembayaran kad di Seattle menetapkan gaji minimum AS$70,000 (RM294,945) sebulan kepada 120 orang kakitangannya selepas mendengar rintihan seorang rakan yang berdepan kesusahan hidup.

Dan Price, 31, menjadi seorang jutawan dan membuka syarikat sendiri yang dinamakan Gravity Payment sejak remaja. Kini, pemuda itu sudah mempunyai sejumlah 2,000 pelanggan serta aset bernilai jutaan ringgit.
Difahamkan, Dan mengambil tindakan untuk menaikkan gaji minimum pekerjanya selepas seorang rakannya, Valerie menceritakan bagaimana kehidupannya kini kacau-bilau selepas tuan rumah bertindak menaikkan sewa bulanan sehingga mencecah AS$200 (RM842) sebulan.
Meskipun Valerie mempunyai jumlah pendapatan sebanyak AS$40,000 (RM168,540) setahun, wanita itu tetap tidak mampu untuk membeli rumah sendiri dan hal berkenaan menyebabkan Dan berang.

“Dia (Valerie) adalah seorang yang bagus dalam perkhidmatan. Selain itu, dia juga jujur dan bekerja keras tetapi dia masih perlu menjalani kehidupan yang sukar,” ujar Dan.
Tambah Dan lagi, dia berang dengan kejadian yang menimpa Valerie susulan pengalaman wanita itu yang pernah berkhidmat selama 11 tahun dalam tentera termasuk ke Iraq, bekerja 50 jam seminggu dan melakukan dua pekerjaan untuk menyara dirinya.
Selain menggunakan kisah hidup Valerie sebagai inspirasi, Dan juga terpanggil untuk menetapkan gaji minimum pekerja di syarikatnya kepada AS$70,000 selepas mengetahui terdapat ramai kakitangannya yang bergelut dengan kehidupan seharian.
Untuk membaca artikel lain berkaitan jutawan, sila klik pada pautan di bawah: