Jus Kunyit Dapat Cegah Kanser? Ketahui Khasiat Minuman Ini Pada Kesihatan Anda

Siapa sangka rempah kuning yang berasal dari Asia Selatan ini sangat berkuasa. Kunyit adalah sebahagian daripada keluarga halia tetapi ia bukan sahaja berfungsi untuk melazatkan lagi masakan anda tetapi juga baik untuk tubuh anda. Menurut satu kajian, kunyit telah digunakan dalam perubatan tradisional sejak beribu tahun yang lalu.

Satu kajian yang dijalankan oleh penyelidik barat iaitu Parviz Khajehdehi mendapati bahawa kunyit mungkin akan dijadikan sebagai alat pemulihan atau pencegahan untuk pelbagai penyakit termasuk pelbagai jenis kanser, obesiti, diabetes jenis 2, hyperdipidemia, hipertensi, CKD (penyakit buah pinggang kronik) dan ESRD (penyakit buah pinggang peringkat akhir).

Khasiat Jus Kunyit

Antara khasiat jus kunyit adalah ia mengandungi sebatian bioaktif dengan ciri ubatan yang berkesan. Sebatian ini dipanggil sebagai curcuminoids. Antara bahan yang paling penting dalam sebatian ini adalah curcumin. Curcumin adalah bahan aktif utama yang terkandung dalam kunyit.

Ia mempunyai kesan anti-radang yang kuat dan antioksidan yang sangat tinggi. Walau bagaimanapun, kandungan curcumin di dalam kunyit tidak begitu tinggi di mana ia hanya sekitar 3 peratus mengikut berat.

Selain itu, jus kunyit juga dapat melindungi jantung anda. Kandungan curcumin dalam kunyit dapat membantu untuk melindungi jantung anda. Kunyit juga dikaitkan dengan tahap kolestrol yang lebih rendah dan mencegah aterosklerosis iaitu pembentukan plak pada arteri yang boleh menyebabkan strok atau serangan jantung. Ia juga boleh membantu untuk melindungi jantung daripada gumpalan darah yang berkembang di dinding arteri.

Di samping itu, jus kunyit juga dapat mengurangkan risiko penyakit kanser. Ternyata kunyit mempunyai banyak kelebihan untuk pesakit kanser. Menurut satu kajian, pengambilan kunyit adalah salah satu cara terbaik untuk mencegah tumor yang disebabkan oleh pendedahan radiasi.

Pada masa yang sama, jus kunyit juga dapat melindungi sel-sel otak. Ia mampu mengurangkan peratus untuk menghidap penyakit Alzheimer. Berdasarkan satu kajian, para saintis telah mendapati bahawa curcumin yang terdapat di dalam kunyit dapat mengurangkan gejala Alzheimer dengan menghalang pembentukan beta-amyloid iaitu bahan protein yang dipercayai sebagai punca kehilangan sel dan tisu.

Akhir sekali, ia dapat melawan penyakit kemurungan. Menurut satu kajian daripada Kelly Brogan, kemurungan juga dikaitkan dengan penurunan tahap faktor neurotropik yang dihasilkan oleh otak (BDNF) dan penyusutan hippocampus, kawasan otak yang mempunyai peranan dalam pembelajaran dan ingatan. Curcumin yang terkandung di dalam kunyit dapat meningkatkan ketahanan BDNF dan berpotensi untuk menangani penyakit kemurungan.

Penulis

  • Ahmad Syarafuddin Mohamad Rosdi adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca