Jumlah Kelahiran Bayi Di Malaysia Semakin Merudum? Ketahui 5 Perkara Yang Jadikan Wanita Tidak Subur

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah kelahiran bayi dan kadar kesuburandilaporkan semakin merudum kepada 1.8 bayi sahaja bagi setiap wanita. Meskipun jumlah penurunan ini kelihatan tidak begitu ketara atau dalam erti kata lain masih sedikit, kita tidak seharusnya memandang enteng tentang perkara ini.

Berikut merupakan 5 perkara yang mendorong ketidaksuburan dalam kalangan wanita:

1. Bersenam keterlaluan

Meskipun aktiviti bersenam mampu meningkatkan kesuburan dalam diri wanita, namun senaman yang berlebihan turut memudaratkan kesihatan dalaman golongan ini.

Berdasarkan pandangan seorang doktor, latihan yang berlebihan akan mempengaruhi tahap hormon dan mengganggu kitaran haid seorang wanita. Hal ini akan mengakibatkan tahap progesteron yang terhasil adalah rendah.

Bukan itu sahaja, senaman yang keterlaluan juga menimbulkan tekanan terhadap badan seseorang sekaligus mengurangkan kesuburan.

2. Tekanan berlebihan

Meskipun kemandulan dan tekanan masih belum dapat dipastikan perkaitannya, ramai penyelidik menyatakan bahawa kebimbangan psikologi mendorong penurunan seorang wanita untuk hamil.

Menurut laporan Iluminasi, keadaan tertekan akan mengakibatkan tahap hormon kortisol dan adrenalin seorang wanita berupaya mempengaruhi fungsi tubuh mereka. Maka, akan timbul pelbagai lagi penyakit baharu seperti obesiti, metabolik dan sebagainya.

3. Usia

Berdasarkan kajian, kualiti telur yang dihasilkan oleh seorang wanita mempunyai perkaitan rapat dengan usia mereka. Ini bermakna, kualiti telur akan semakin teruk apabila usia seseorang wanita itu semakin lanjut.

Kebarangkalian untuk mengandung adalah sangat tipis dengan jumlah perkurangan sehingga 5% bagi wanita berusia 40 tahun.

4. Berat badan

Berdasarkan pernyataan Persatuan Amerika dalam Perubatan Reproduktif, kategori berat badan yang berlebihan atau kurang daripada normal merupakan punca utama ketidaksuburan dalam kalangan wanita.

Ini kerana, berat badan yang tidak sihat mengakibatkan masalah terhadap tahap hormon. Perlu diketahui bahawa tahap hormon seseorang mempunyai perkaitan erat dengan penghasilan ovulasi wanita.

Sekiranya tahap hormon tidak stabil, kitaran haid menjadi tidak teratur. Sebagai kesannya, wanita akan lebih sukar untuk hamil dan sekiranya mengandung, risiko untuk keguguran adalah tinggi.

5. Bahan kimia

Golongan wanita dinasihatkan agar tidak bersikap semberono dalam membeli dan memiliki barangan atau produk penjagaan kebersihan mahupun kecantikan diri. Ini kerana, hasil penyelidikan mendapati bahawa penggunaan bahan kimia seperti phthalates dan parabens boleh menyebabkan gangguan endokrin.

Maka, elakkan diri daripada menggunakan sebarang produk yang tidak jelas penggunaan bahan buatannya. Sebaliknya, galakkan diri untuk membeli dan memiliki barangan yang diperbuat daripada bahan semula jadi.

Meskipun wanita masa kini kebanyakannya berkerjaya, pastikan anda tidak lupa untuk menjaga dan mengambil berat akan setiap perbuatan dan kesihatan diri sendiri.

Walaupun kelihatan seakan remeh, kecuaian atau kelalaian dalam menitikberatkan penjagaan tubuh badan yang sempurna boleh mendatangkan penyesalan kepada diri sendiri.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca