Jualan Cecah RM14 Juta, Khairulaming Bakal Buka Kilang Kedua

Personaliti media sosial Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali dengan nama Khairulaming berkongsi tentang kemajuan dalam perniagaan Sambal Nyet di media sosial miliknya semalam.

Dalam sebuah video yang dimuat naik semalam, dia mengumumkan penjualan sambalnya selama setahun setengah operasi telah mencecah sejuta botol bersamaan RM14 juta.

Dari awal sehingga kini produk sambal itu terus mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia. Tambahan pula, setiap kali dijual di platform Shopee sambal ini akan habis terjual dalam tempoh kurang beberapa jam.

Sumber: Twitter @khairulaming

Lebih mengujakan lagi, dia kini dalam proses menyiapkan kilang kedua yang berkeluasan 22,000 kaki persegi pula. Menurutnya, kilang baharu tersebut terletak di Kota Bharu, Kelantan iaitu tempat kelahirannya.

Khairulaming turut sempat mengimbas semula perjalanan perniagaannya yang bermula pada Januari tahun lalu.

Bermula dengan menyewa sebuah lot kedai sebelah kedai runcit. Dia berjaya untuk membuat sebanyak 10,000 botol sambal.

Selepas 3 bulan, Khairulaming mengatakan bahawa mereka berjaya mendapatkan jualan RM1 juta dan hasil jualan tersebut dijadikan modal bagi membuka kilang pertama seluas 14,000 kaki persegi.

Pengalamannya pertama kali membuka kilang banyak memberikan pengajaran buatnya. Ada beberapa kesilapan dilakukan antaranya ialah salah membeli mesin, tidak pandai merancang prosesnya dan macam-macam lagi.

Perkongsian Khairulaming tersebut mendapat perhatian warganet dan ramai antara mereka menzahirkan ucapan taniah atas pencapaian yang luar biasa.

Mereka turut mendoakan agar dia lebih maju dan perniagaannya berkembang pesat serta dapat membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada masyarakat.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca