Jose Mujica, Presiden Termiskin Di Dunia Dan Kenapa Agaknya Beliau Miskin?

Kita sudah biasa mendengar cerita ahli politik yang mempunyai gaya hidup mewah dan harta kekayaan yang melimpah ruah. Tetapi di Uruguay, ada seorang bekas presiden yang ‘rare’ kerana beliau tidak kisah tinggal di kampung, hidup secara sederhana dan benar-benar berjiwa rakyat.

Nama beliau adalah José Alberto “Pepe” Mujica Cordano atau lebih dikenali sebagai Jose Mujica. Beliau telah berkhidmat sebagai presiden dari tahun 2010 hingga 2015. Penglibatannya dalam politik sejak muda lagi iaitu apabila beliau menjadi seorang pejuang gerila dan menyertai parti berhaluan kiri atau radikal iaitu Tupamaros. Geng Mujica ini bertindak seperti Robin Hood di mana mereka merompak kelab senjata, bank dan bisnes yang jahat menurut pandangan mata mereka dan hasil rompakan itu diberikan kepada orang miskin.

Mujica telah beberapa kali ditembak dan menghabiskan masa di penjara selama 14 tahun. Kehidupan di penjara banyak membentuk persepsinya terhadap kehidupan dan dari tirai besi sehingga diangkat sebagai presiden, beliau tetap berjuang demi rakyat.

Menjawat jawatan Presiden Uruguay

Apa yang mengagumkan, kuasa yang diberikan oleh rakyat kepadanya tidak pernah mengubah prinsip hidupnya malah dia menggalas tugasnya sebagai pemimpin negara itu dengan jujur dan amanah tanpa sebarang agenda yang tersembunyi tidak seperti pemimpin lain dalam sejarah yang acah-acah sosialis namun akhirnya menjadi diktator atau berkhidmat demi akaun bank sendiri semata-mata.

Ketika bergelar Presiden Uruguay, Mujica telah mendermakan 90% daripada gajinya setiap bulan berjumlah kira-kira RM46,560 kepada orang miskin dan bagi membantu peniaga-peniaga kecil. Beliau juga mampu untuk tinggal di kediaman presiden namun menolaknya sebaliknya beliau menjadikan rumah itu sebagai muzium untuk kunjungan orang ramai.

Mujica memilih untuk tinggal di rumah ladang bersama isteri, kebun bunga dan pengawal peribadinya pula hanyalah seekor anjing kelainan upaya yang memiliki tiga kaki, setia mengawasi rumahnya. Selain itu, beliau turut mencari pendapatan tambahan dengan berkebun dan menanam bunga bagi merasai sendiri jerih perih hidup rakyat.

 

Kereta yang dinaikinya pula adalah model jenis lama, 1987 blue VW Beetle dan Mujica pernah ditawarkan satu juta dolar oleh seorang Sheikh Arab untuk membeli keretanya namun beliau menolak tawaran itu dengan alasan “Tidak Penting.”

Presiden paling selamba ini juga tidak begitu mementingkan penampilan atau protokol tetapi amat menghargai idea dan buah fikiran. Negara pimpinannya telah menunjukkan prestasi ekonomi yang baik di mana rakyatnya dapat menikmati gaji yang lumayan dan kurang kadar pengangguran berbanding negara-negara Amerika Latin lain yang sedang bergelut dengani kemelesetan ekonomi.

Sampai masa, beliau harus melepaskan jawatannya dan beliau sedikit pun tidak kisah lalu meneruskan kehidupannya seperti biasa dengan bahagia bersama isteri, haiwan peliharaan dan kebun bunganya. British Broadcasting Corporation (BBC) melaporkan bahawa beliau menolak untuk diberikan wang pencen. Walaupun sudah pencen, kepimpinannya masih dirindui oleh rakyat Uruguay.

“Saya digelar ‘presiden paling miskin’ tapi saya tak rasa miskin pun. Orang miskin ini adalah orang yang bekerja hanya untuk menampung gaya hidupnya yang mewah dan selalu mahu lebih.” katanya kepada koresponden BBC.

“Ini soal kebebasan. Jika kamu tak ada banyak harta benda jadi kamu tidak perlu bekerja seperti hamba untuk mengekalkannya, dan kamu akan banyak masa untuk diri kamu sendiri.” ujarnya lagi.

Demikianlah cerita Jose Mujica, presiden yang memiliki kekayaan jiwa walaupun mungkin nampak miskin dari segi material. Beliau tidak hanya menawarkan janji-janji manis yang belum tentu akan ditepati sebelum menjadi presiden sebaliknya membuktikan melalui perbuatannya sehingga bertakhta di hati rakyat. Dunia perlukan lebih ramai orang seperti Jose Mujica namun ahli politik sepertinya mungkin sudah semakin pupus pada masa kini.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca