Bekas pengurus pasukan Chelsea, Jose Mourinho akhirnya mengakui yang dia pernah bersembunyi di dalam bakul cucian (laundry) untuk menyelinap ke bilik persalinan pasukan Chelsea ketika menjalani penggantungan dua perlawanan pada peringkat suku akhir Liga Juara-Juara 2005 menentang Bayern Munich.
Mourinho yang dipecat oleh Manchester United pada bulan Disember 2018 memberitahu kepada beIN Sports yang dia berjaya melakukannya dengan bantuan kit man pasukan pada ketika itu.
Akhbar melaporkan kejadian dua tahun kemudian iaitu pada tahun 2007 dan isu itu antara yang hangat diperkatakan pada ketika itu. Chelsea mengeluarkan kenyataan menafikan laporan itu dan mendakwa ia dilakukan dengan niat untuk menjejaskan pasukan menjelang separuh akhir Liga Juara-Juara tahun itu (2007) yang juga akan menentang Liverpool (pada peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara 2005, Chelsea turut bertemu dengan Liverpool).
Kenyataan itu berbunyi, “Situasi ini sangat jelas. Kedua-dua perlawanan dikawal selia oleh UEFA dan mereka lebih daripada berpuas hati pada kedua-dua malam tersebut. UEFA sangat yakin dan tetap dengan pendirian yang telah mereka buat. Begitu juga dengan masa sekarang dan masa hadapan.”
“Satu-satunya sebab untuk mengeluarkan laporan sebegini dengan tempoh yang begitu hampir dengan hari perlawanan besar tidak lain dan tidak bukan adalah agenda yang bertujuan untuk melemahkan pasukan kami.”
Namun, Mourinho hanya berdiam diri pada ketika itu dan menunggu bertahun-tahun lamanya untuk akhirnya membuka mulut dan menerangkan dengan jelas bagaimana kejadian itu berlaku.
“Saya pergi ke bilik persalinan pada siang hari. Jadi, saya sebenarnya berada di sana dari tengah hari lagi dan pada hari itu perlawanan akan dimainkan pada pukul 7 petang. Niat saya hanya untuk berada di bilik persalinan pasukan saya apabila para pemain tiba dan ya, saya berjaya!” jelas lelaki Portugis berusia 55 tahun itu.
“Saya pergi ke sana dan saya bernasib baik tidak ada yang nampak saya. Masalahnya kemudian adalah untuk beredar dari situ selepas itu. Jadi Stewart Bannister, kit man kami menyorokkan saya di dalam bakul. Ia dibiarkan sedikit terbuka supaya saya dapat bernafas.” tambah ‘The Special One’ lagi.
“Tapi apabila dia menolaknya keluar dari bilik persalinan, pegawai UEFA mengekori kami dan pegawai itu kelihatan sedang berusaha untuk mencari saya. Jadi dia menutup bakul di mana saya berada untuk cuba melindingi saya daripada ditemui oleh pegawai itu. Ketika itu saya dah tak boleh nak bernafas! Selepas keadaan kembali terkawal, dia membuka bakul dan saya cakap terus-terang, saya amat sesak nafas pada masa tu. Betul. Saya tak tipu!”
Chelsea memenangi 1st leg perlawanan itu 4-2 di Stamford Bridge dan berjaya lolos ke separuh akhir dengan agregat 6-5 sebelum tumpas kepada Liverpool di separuh akhir.
Sumber: Sky Sports & 90min