Jepun Tidak Menyediakan Tong Sampah

Jepun sememangnya terkenal sebagai negara yang bersih dan berdisiplin. Kebanyakkan pelancong yang melancong ke negara tersebut akan berasa kagum kerana tidak banyak tong sampah yang disediakan terutamanya di bandar Tokyo. Pada masa yang sama begitu sukar juga untuk melihat sebarang sampah dibuang merata-rata.

Amalan yang penduduk di Jepun amalkan jauh berbeza dengan masyarakat lain di seluruh dunia, di mana rakyat mereka telah biasa mengumpulkan dahulu sampah yang perlu mereka buang dalam plastik atau bungkusan sendiri, kemudian membawanya ke mana-mana terlebih dahulu, sebelum membuangnya di tong sampah.

Mengapa Tong Sampah Dikurangkan?

Mengikut sejarah, tong-tong sampah mula dikurangkan selepas insiden yang berlaku pada tahun 1995 kerana takutkan kepada serangan pengganas yang meletakkan bom di dalam tong-tong sampah sebagai tempat paling strategik menyembunyikannya.

Pada tahun tersebut, 5 orang ahli kumpulan ajaran sesat Aum Shinrikyo bertindak dalam satu operasi untuk melepaskan gas sarin sebagai amaran kepada kerajaan Jepun ketika itu.

Dengan menyamar sebagai penumpang keretapi bawah tanah, setiap daripada mereka dikehendaki memegang beg plastik berisi sarin dan bentuk cecair.

Mereka dibekalkan dengan payung yang muncungnya sudah ditajamkan dengan tujuan untuk dijadikan alat menyucuk plastik itu bila serangan hendak dimulakan.

Kelima-lima individu itu bertindak menjatuhkan plastik itu secara senyap, sebelum membocorkannya dan mereka pun beredar di stesen yang telah ditetapkan, sambil pemandu yang ditugaskan sudahpun menunggu mereka.

Sarin mempunyai sifat cukup pantas mengewap. Setelah didedahkan kepada udara, sarin dalam bentuk cecair dengan cepat bertukar menjadi gas kemudian disebarkan ke udara. Gasnya juga tidak mempunyai bau jadi mereka yang terhidunya berkemungkinan besar tidak mampu menyedari kehadiran gas tersebut.

Kejadian yang menyebabkan 12 orang meninggal dan lebih 5000 orang cedera itu menyebabkan masyarakat Jepun mahukan kawalan keselamatan yang lebih ketat diperkenalkan di negara mereka, bagi menghalang kejadian sama berulang lagi.

Salah satu langkah yang diperkenalkan adalah dengan hanya meletakkan tong sampah di kawasan-kawasan tertentu, bagi mengelakkan pengganas mampu menyembunyikan bahan beracun mereka di dalamnya.

Kesemua tong sampah yang selama ini disediakan dilupuskan. Memang amat sukar sekali untuk menjumpai tong sampah awam di sekitar Jepun.

Perubahan paling besar yang berlaku selepas tindakan itu adalah kurangnya jumlah sampah yang dibuang oleh orang ramai.

Kekurangan tong sampah tidak menjadikan Jepun sebuah negara yang kotor walaupun mempunyai kepadatan penduduk mencecah 40 juta orang, malah sudah sering kali dipilih antara bandar terbersih di dunia.

Selain itu masyarakat Jepun turut menyerapkan budaya kitar semula yang mereka amalkan sekian lama bagi membantu ketiadaan tong sampah ini. Mesin kutipan layan diri untuk sampah disediakan mengikut kategori yang mampu menjadi tempat masyarakat Jepun melupuskan sampah.

Di Malaysia, turut terdapat beberapa buah sekolah sudah mula mengamalkan konsep tiada tong sampah di sekolah seperti yang diamalkan di Jepun. Sekolah-sekolah tersebut adalah antara sekolah-sekolah yang terbersih. Cara ini perlu dilakukan di seluruh Malaysia.

Perkara ini perlu dididik sejak kecil supaya masyarakat lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan alam sekitar.

Untuk menjadi negara yang maju Malaysia perlulah menjadikan negara-negara yang berada di hadapan sebagai contoh terbaik.

Sumber: Wikipedia, Utusan Online

Artikel Lain Untuk Di Baca