Jenazah Umat Islam Yang Meninggal Dunia Akibat COVID-19 Dipaksa Bakar Oleh Kerajaan Sri Lanka

Kerajaan tempatan Sri Lanka memaksa umat islam untuk membakar mayat saudara mereka yang positif wabak COVID-19. Arahan itu sudah pastinya melanggar kepercayaan mereka sebagai seorang Muslim.

Sejak perintah penguncian atau kuarantin dikuatkuasakan, kumpulan hak asasi manusia telah memberi amaran bahawa kerajaan Sri Lanka sedang dalam usaha untuk menekan kumpulan minoriti Muslim di negara tersebut.

Membakar mayat adalah tradisi yang diterapkan oleh masyarakat Buddha Sinhala iaitu majoriti penduduk di negara itu. Ajaran Islam menghendaki orang yang meninggal dunia dikebumikan dan bukannya dibakar.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah membenarkan pengebumian dan pembakaran mayat bagi mangsa wabak COVID-19.

Namun, pada 11 April lalu, kerajaan Sri Lanka telah mengeluarkan peraturan yang menjadikan tradisi pembakaran mayat sebagai kaedah wajib bagi semua korban COVID-19. Sri Lanka adalah satu-satunya negara di dunia yang melaksanakan keseragaman tersebut.

“Fakta bahawa tidak ada negara lain yang melarang penguburan mayat memberitahu anda betapa buruknya hal ini (bagi umat Islam di Sri Lanka sekarang),” kata Pengarah Kumpulan Krisis untuk Sri Lanka, Alan Keenan.

Terdapat 303 kes jangkitan di negara tersebut dan tujuh pesakit telah meninggal dunia. Bagaimanapun, Sri Lanka telah melaksanakan penguncian seluruh negara sejak 21 Mac.

Menurut sumber Al Arabiyah, setakat ini sudah tiga jenazah Muslim dibakar. Situasi ini menimbulkan rasa tidak puas hati bagi keluarga mangsa. Fayaz Yoonus, anak salah seorang mangsa di Kota Batticaloa, baru-baru ini memberitahu mengenai kematian dan pembakaran mayat ayahnya.

“Ketika kami diberitahu bahawa ayah saya akan dibakar, saya harus membiasakan diri dengan prosedur ini. Saya juga tidak tahu di mana hendak membeli keranda,” katanya.

Yoonus dibenarkan melawat jenazah ayahnya keesokan paginya di bilik mayat bersama abang dan kakak iparnya. Mereka mengadakan solat jenazah sebelum jenazah ayahnya dibakar menjadi abu.

“Di luar, seorang pegawai perubatan bertanya kepada saya, di depan media, apakah saya keberatan dengan pembakaran mayat. Saya sangat letih dan sedih dengan apa yang berlaku. Saya tidak tahu bagaimana hendak menjawab. Akhirnya saya memberitahu mereka bahawa saya memberi persetujuan,” kata Yoonus.

 Yoonus ketika diwawancara bersama pengawai perubatan tidak mempunyai pilihan selain menjawab secara terbuka bahawa dia menyetujui pembakaran mayat ayahnya.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan kematian disebabkan oleh COVID-19, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca