‘Jenayah Tidak Mengenali Jantina’, Europol Lancar Kempen Untuk Tangkap 18 Penjenayah

Agensi polis Eropah (Europol) yang terletak di The Hague, Belanda melancarkan sebuah kempen baharu dalam bentuk interaktif untuk menangkap 18 penjenayah wanita yang paling dikehendaki di benua tersebut pada hari ini.

Jurucakap Europol iaitu Tine Hollevoet berkata, “Laman web baharu Europol turut mendedahkan wajah-wajah orang buruan yang dikehendaki oleh 21 negara Kesatuan Eropah dalam bentuk interaktif. 18 daripada penjenayah tersebut merupakan penjenayah wanita.”

Tambahnya lagi, “Ramai orang beranggapan bahawa wanita tidak mampu untuk melakukan jenayah-jenayah tersebut. Walau bagaimanapun, mereka juga berkebolehan untuk melakukan kesalahan yang sama berat dengan jenayah yang dilakukan lelaki.”

Suspek yang dikehendaki berhadapan dengan pelbagai pertuduhan termasuk membunuh serta penyeludupan manusia dan dadah.

Sumber: Europe’s Most Wanted

Kempen yang dikenali sebagai ‘Jenayah tidak mengenali jantina’ itu mula-mula memaparkan wajah suspek yang ditutupi oleh topeng neon yang menakutkan. Apabila pelawat laman web itu membaca kisah jenayah mereka, wajah mereka kemudian didedahkan kepada orang ramai.

Tine berkata, “Wajah suspek akan didedahkan apabila pembaca selesai membaca kisah tersebut. Mereka boleh mengetahui sama ada penjenayah itu merupakan seorang lelaki ataupun perempuan.”

Menurut Tine, “Idea di sebalik kempen berkenaan adalah untuk menarik lebih ramai pelawat ke laman web itu. Berdasarkan pengalaman kami, peluang untuk kami menjejaki dan memberkas suspek lebih tinggi apabila lebih ramai orang yang mengenali wajah penjenayah.”

Jessica Edosomwan merupakan suspek wanita yang dikehendaki oleh Perancis pada 2007. Suspek yang merupakan seorang warganegara Nigeria berjaya melarikan diri selepas pihak polis menyerbu sebuah rumah pelacuran di wilayah Lyon. Wanita itu merupakan satu-satunya suspek dalam kes tersebut yang masih bebas.

Rumah pelacuran itu telah mengeksploitasi dan mengumpan 60 pelacur terbabit ke Perancis dengan menjanjikan masa depan yang lebih cerah untuk mereka.

Polis berkata, Jessica dipercayai kini berada di negara Benelux (Belgium, Belanda dan Luxembourg), Itali atau Jerman.

Selain itu, seorang warganegara Hungary iaitu Ildiko Dudas, 31, dikehendaki atas kesalahan penyeludupan dadah dan penderaan kanak-kanak.

Menurut Europol, “Suspek kerap membawa anak-anaknya sekali apabila dia mahu membuat urus niaga yang melibatkan dadah.”

Ildiko menerima hukuman enam tahun di penjara atas jenayah yang dilakukan olehnya antara 2011 dan 2012.

Maklumat mengenai orang buruan boleh dihantar ke laman web Europe’s Most Wanted. Pihak penyiasat akan menerima maklumat tentang orang buruan mereka secara langsung menerusi laman web itu.

Artikel Lain Untuk Di Baca