Jemaah Haji Zaman Dulu Bersabung Nyawa Di Tengah Lautan

“Orang zaman dulu pergi haji naik kapal laut. Kalau ada orang mati atas kapal, Mok tengok sendiri orang kebumi mayat dalam laut. Kaki ikat dekat batu… ” cerita nenek saya atau orang kampung memanggilnya Mak Aji.

Waktu itu, beliau sedang bercerita kepada anak cucu yang sedang berkumpul di sekelilingnya.

Saya tertarik dengan cerita itu dan mahu mendengar dengan lebih lanjut. Lagipun secara peribadinya saya merasakan kapal, pelabuhan dan laut adalah 3 perkara yang romantis.

Namun keinginan itu tersekat apabila beliau menukar topik kepada lembu-lembu jiran. Nenek saya terus bercerita tanpa henti dan jangan harap dapat tukar ‘channel’ lain.

Jadi, secebis cerita itu dibiarkan berlegar-legar dalam kotak memori saya berserta tanda soal. Biasanya kalau ada orang ‘naik haji’, anak-beranak akan berkumpul di airport untuk menghantar dan menyambut mereka.

Bagaimana agaknya suasana itu pada zaman dulu? Lalu saya meng-google-nya kerana pada zaman kini maklumat di atas tapak tangan saja.

Kenangan Kapal Haji

Pada zaman dulu, orang Melayu menggunakan kapal arang untuk ke Makkah. Kapal paling terkenal ketika itu bernama Mendam Berahi.

Pelayaran kapal ini mengambil masa selama 50 hari untuk sehala. Kemudian, kapal api diperkenalkan untuk memendekkan perjalanan menjadi 14 hari.

Menurut rencana Utusan, kapal laut telah digunakan sebagai pengangkutan utama oleh jemaah haji di Tanah Melayu sejak abad ke-15 hingga tahun 1976.

Via Utusan

Namun begitu, ramai yang tidak mampu ke Makkah pada ketika itu kerana nilai tambang tiket yang amat mahal sehingga ada yang sanggup berhutang, bergolok gadai barangan kemas, hasil tanaman dan ternakan bagi menampung kos tersebut.

Mengikut perkongsian Dr Aiza [email protected] Baharudin dari USM kepada Bernama, hal ini berlaku kerana jemaah pada masa itu tidak begitu yakin dengan sistem perbankan yang dikatakan ada unsur riba selain bimbang ditipu.

Tetapi jemaah haji tetap kian bertambah saban tahun dan syarikat perkapalan tumbuh seperti cendawan.

Para jemaah akan ditempatkan di kawasan dek mengikut kelas manakala barangan seperti beras, gula dan kayu balak pun ada diletakkan di bahagian bawah kapal.

Jeddah Kedua Di Pulau Pinang

Sebelum berangkat, para jemaah akan berkumpul di suatu tempat dulu. Lokasi itu di Lebuh Acheh, George Town atau digelar ‘Jeddah Kedua’.

Di sinilah segala aktiviti berkaitan haji seperti pendaftaran haji, kelas agama, perniagaan kitab dan jual beli bertumpu.

Segala urusan haji ini diuruskan oleh seorang syeikh haji (ejen) berlesen yang dipantau oleh Pusat Kawalan Haji Pulau Pinang.

Sanak saudara yang datang beramai-ramai dari segala ceruk Tanah Melayu memeriahkan suasana di Lebuh Acheh itu, ada yang tiba seminggu lebih awal bagi menghantar jemaah bertolak ke kota suci.

Pada hari pelayaran dari Pelabuhan Swettenham hingga Jeddah, kawasan ini hiruk pikuk dan meriah dengan suara jemaah dan pengiring mereka yang berjalan beramai-ramai ke pelabuhan sambil menjunjung barangan ringan di atas kepala dan menjinjing beg.

Pelbagai Cabaran

Ketika belayar, ada jemaah haji yang menghadapi rintangan misalnya cuaca buruk dan ombak bergelora.

Malah pernah berlaku kebakaran kerana ada jemaah haji yang memasak di atas kapal sehingga terbakar.

Kes kematian dan kebuluran jemaah haji juga pernah terjadi di atas kapal.

Apabila ada jemaah yang meninggal dunia, jenazah itu akan dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan di dalam laut.

Batu atau besi yang diikat pada bahagian kaki akan menenggelamkan jenazah. Kapal yang berhenti buat seketika akan memastikan jenazah tersebut benar-benar tenggelam sebelum meneruskan pelayaran.

Dr Aiza menceritakan bahawa kematian tidak menggugat keimanan jemaah haji itu untuk menjadi tetamu Allah dan ada yang membawa kain kafan sendiri sebagai persediaan sekiranya dijemput Ilahi terlebih dahulu.

Labbaikallahumma Labbaik (Aku memenuhi panggilan Mu, ya Allah)

 

Begitulah serba sedikit cerita tentang pengorbanan dan perjalanan tok nenek kita dulu yang saya kira bukan mudah untuk dilalui demi menunaikan rukun Islam ke-5 ini.

Untuk bacaan lanjut, dipersilakan untuk klik sumber-sumber di bawah ini.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca