Jelajah Siti Nurhaliza On Tour Bermula Di ‘Rumah Kedua’

Sebut sahaja nama Dato’ Sri Siti Nurhaliza, pasti ramai mengenali beliau yang telah berkecimpung dalam bidang muzik sejak berusia 16 tahun. Beliau telah kembali mengadakan konsert siri jelajahnya yang berjudul ‘Dato’ Sri Siti Nurhaliza On Tour’ bagi meraikan lebih dari 20 tahun keberadaan beliau di dalam bidang seni suara.

Pada Khamis malam, Dato’ Sri Siti Nurhaliza membuka tirai pentas jelajah tiga negara Asianya di Jakarta, Indonesia. Konsert tersebut yang bertempat di Istora Senayan Jakarta telah dihadiri oleh kira-kira 3,000 peminat dari dalam dan luar republik itu.

Ketika membuka tirai persembahan, beliau menyatakan bahawa Indonesia ibarat rumah kedua beliau. Tidak hairanlah Indonesia telah dipilih sebagai lokasi pertama untuk jelajah kali ini.

Rata-rata Sitizoners dari Malaysia, Singapura dan Brunei tidak melepaskan peluang ini di mana mereka sanggup terbang khas ke Jakarta semata-mata untuk menyaksikan penyanyi nombor satu negara ini beraksi.

Lagu-lagu tradisional seperti Badarsila, Joget Berhibur, Joget Kasih Tak Sudah dan Nirmala telah mengisi segmen pertama konsert tersebut.

Memori dan kenangan perjalanan muzik beliau sejak awal kariernya yang bermula pada tahun 90-an telah diterjemahkan melalui jelajahnya kali ini. Segmen-segmen lain yang turut dipersembahkan oleh beliau adalah balada, akustik dan moden. Penyanyi kegemaran rakyat tempatan, Tulus turut hadir sebagai artis jemputan.

Konsert yang berlangsung kira-kira dua jam itu tidak putus daripada sorakan para peminat. Malah, mereka turut menyanyikan lagu-lagu popular di Indonesia seperti Cindai. Antara lagu lain yang mengisi konsert tersebut termasuklah Biarlah Rahsia, Percayalah, Bukan Cinta Biasa, Indah Percintaan, Anta Permana dan banyak lagi.

Singapura bakal menyusul sebagai lokasi yang seterusnya bagi jelajah kali ini iaitu pada 2 Mac manakala Siti akan bertemu peminat di Kuala Lumpur pada 16 Mac. Bukan itu sahaja, penyanyi yang diminati ramai ini juga akan kembali ke Royal Albert Hall, London buat kali kedua pada 22 April ini.

Sebuah dokumentari yang berjudul ‘They Call Me Siti’ berkisarkan keseluruhan jelajah ‘Dato’ Sri Siti Nurhaliza On Tour’ ini akan dirakam dan diterbitkan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca