Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengingatkan orang ramai supaya mematuhi tanda amaran bendera merah di persisiran pantai berikutan keadaan ombak besar dan laut bergelora yang berlaku sekarang.
Pengarahnya Nazili Mahmood berkata, para pengunjung hendaklah terus mematuhi arahan bendera merah itu yang melarang orang ramai bermandi-manda berikutan jangkaan berlakunya fenomena Ribut Siklon Tropika.
“JBPM telah membuat tinjauan sepanjang pantai di sekitar Pengkalan Kubor, Bachok, Pasir Puteh dan Sabak bagi memberi nasihat kepada orang ramai dan juga nelayan agar terus berwaspada,” katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan di persisiran Pantai Sabak di sini hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, angin kencang timur laut dengan kelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula hari ini sehingga Sabtu, 5 Januari 2019.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
Nazili berkata, beliau telah mengeluarkan arahan kepada balai bomba yang berhampiran dengan pantai antaranya balai bomba Kota Bharu, Bachok, Pengkalan Kubor dan Pasir Puteh agar semua anggota bersiap sedia dan berada di kawasan yang strategik untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, setakat ni orang awam masih patuh dengan amaran bendera merah yang diletakkan dan tidak berada di kawasan berkenaan,” katanya.
“Seramai 762 anggota bomba dan 653 anggota Pasukan Bomba Sukarelawan di negeri ini boleh digerakkan pada bila-bila masa sahaja jika berlaku sebarang bencana,” katanya kepada Bernama.
Sumber: Bernama