Jatuh Hati Selepas Diserang Bison, Cinta Pasangan Ini Masih Utuh Hingga Kini

Apabila seorang lelaki diserang seekor bison semasa pergi mendaki, dia berfikir ia hanyalah satu kejadian aneh dan berkemungkinan dia hanya bernasib malang. Tiga bulan kemudian, dia kembali ke lokasi tersebut bersama-sama teman wanitanya dan mereka diserang haiwan berkenaan sekali lagi.

Menurut Kyler Bourgeous, 30, dia diserang bison pada bulan Jun lalu. Kejadian tersebut menyebabkan lelaki itu mengalami kecederaan teruk termasuk patah tulang rusuk dan keruntuhan paru-paru.

Walaupun cedera teruk, Kyler hanya mengambil masa beberapa hari untuk menjadi dirinya semula. Kurang daripada dua minggu selepas kejadian, lelaki tersebut sudah kembali mendaki bukit semula.

Disebabkan kejadian serangan bison itu sangat jarang berlaku, ia menjadi modal buat Kyler untuk berkenalan dengan seorang gadis di alam maya. Malah, lelaki tersebut turut bergurau dan memberi gadis itu nasihat sekiranya dia turut menjadi mangsa serangan haiwan liar itu.

Kyler tidak menyangka bahawa nasihat tersebut benar-benar berguna dalam masa terdekat.

Kyler telah mengajak Kayleigh Davis, 22 untuk pergi mendaki bersamanya di Utah Antelope Island State Park sebagai destinasi janji temu pertama mereka. Tempat tersebut merupakan merupakan tempat yang sama di mana Kyler pernah diserang beberapa bulan lalu.

Tidak lama kemudian, pasangan tersebut dikejar oleh seekor bison dan Kayleigh teruk ‘dihentam’ haiwan terbabit.

“Bison itu menggunakan kepalanya untuk mencampakkan saya ke udara. Disebabkan itu, paha saya tertikam oleh tanduk haiwan tersebut. Saya berasa begitu takut dan semasa di udara saya hanya berfikir bahawa saya akan mati,” ujar Kayleigh.

Apabila dia jatuh ke bumi, Kayleigh teringat akan nasihat Kyler yang berpesan agar dia tidak bergerak ketika bison menghidu dan menguisnya dengan kaki. Haiwan tersebut dikatakan pergi meninggalkan pasangan itu tidak lama kemudian.

Seorang pegawai di Utah State Parks berkata ia bukanlah salah Kyler atau Kayleigh kerana kedua-duanya tidak melakukan apa-apa perkara yang mampu mendorong bison untuk menyerang mereka.

Kayleigh dilaporkan tidak mengalami apa-apa kecederaan parah. Pasangan tersebut dilaporkan masih lagi bersama sehingga kini dan Kyler sering melawat kekasihnya itu di hospital. Apabila ditanya adakah mereka akan kembali mendaki kawasan yang sama selepas ini Kyler menjawab, “Saya tidak percayakan perkara tahyul, tetapi saya rasa bison di situ tidak menyenangi kehadiran saya.”

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca