Jatuh Cinta Pada Si Penculik, Kenali Sindrom Stockholm

Sindrom Stockholm pertama kali terjadi pada tahun 1973 apabila terjadinya satu kes rompakan bank di Stockholm, Sweden. Empat orang mangsa telah dijadikan tebusan semasa rompakan dan mula berkelakuan pelik setelah diselamatkan.

Jan-Erik Olsson merupakan penjenayah yang paling dikehendaki pada masa itu. Beliau telah masuk ke Kreditbanken iaitu sebuah bank untuk rompakan dan telah menembak kedua pegawai polis di bank tersebut lalu mengambil empat pekerja bank sebagai tebusan.

Sebahagian daripada tuntutan beliau adalah dengan meminta pihak polis berkuasa membawa rakannya yang dari penjara iaitu Clark Olofsson kepadanya.

Mangsa-mangsa tersebut telah ditahan selama enam hari sebelum diselamatkan oleh pihak polis yang akhirnya menggunakan gas pemedih mata untuk melepaskan mereka.

Namun begitu, satu kejadian pelik berlaku sejurus penangkapan penjenayah itu. Kesemua mangsa tebusan ini mula mempertahankan penjenayah tersebut dengan tidak mahu memberi keterangan di mahkamah.

Mereka berasa simpati terhadap penculik itu malah salah seorang tebusan Kristin Ehnmark, membuat pengakuan bahawa mereka rasa lebih takut kepada polis daripada Olsson.

Hal ini terjadi kerana sepanjang tebusan itu, Olsson melayan mereka dengan baik termasuk memberikan jaket kepada Kristin yang sedang kesejukan. Selain itu, Olsson juga pernah membenarkan tebusan yang lain iaitu Elizabeth Oldgren, yang mengalami sesak nafas untuk keluar berjalan di luar bilik kebal.

Lebih memeranjatkan lagi, mangsa tebusan juga telah pergi melawat Olsson yang berada di penjara.

Dipercayai sindrom stockholm ini berpunca daripada perasaan takut dan tertekan yang mengakibatkan keupayaan untuk menjaga diri mereka semakin berkurang sekaligus membuatkan mereka bergantung kepada penculik.

Menurut pakar kesihatan mental, mereka merasakan ianya adalah strategi perlindungan dan cara mengatasi ketakutan oleh mangsa penderaan emosi dan fizikal.

Tambahan lagi, menurut laporan kesihatan yang diterbitkan pada 1995, Dee L.R.Graham seorang pakar psikologi dan Profesor di Universiti of Cincinnati menerangkan bahawa sindrom ini kemungkinan berlaku disebabkan empat sebab:

1. Mangsa berasa kelangsungan hidup mereka bergantung pada penculik mereka.

2. Mangsa melihat kebaikan kecil yang datang daripada penculik seperti menerima makanan atau dilayan dengan baik.

3. Mangsa diasingkan dari perspektif selain daripada penculik mereka.

4. Mangsa merasakan mereka tidak dapat melepaskan diri daripada penculik.

Secara keseluruhannya, mangsa yang mempunyai gejala Sindrom Stockholm ini selalunya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan penculik tetapi masih mempunyai perasaan positif terhadapnya. Namun begitu, terdapat kes domestik dimana isteri yang didera mempunyai gejala sindrom ini kerana terlalu bergantung kepada suaminya.

Selain itu, mereka lebih mempercayai penculik lebih dari pihak keselamatan kerana layanan baik yang diterima oleh mereka sepanjang masa dikurung bersama. Kecenderungan mereka dalam bergantung kepada penculik membuatkan perasaan ‘suka’ itu menjadi lebih kuat.

Untuk membaca artikel lain yang berkenaan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca