Jantung Puffin Dan Udang Mabuk, Ini 15 Makanan Pelik Di Seluruh Dunia

Tidak dinafikan dunia ciptaan Tuhan ini kaya dengan pelbagai jenis makanan. Walaupun sesetengahnya dianggap menjijikkan, makanan ini masih terasa nikmat oleh sesetengah masyarakat. Berikut merupakan 15 senarai makanan pelik dari serata dunia.

1. Sandwic otak goreng

Makanan sandwic otak lembu ini pernah terkenal di Amerika Syarikat. Namun, setelah penyakit lembu gila mula tular, populariti makanan ini kian pudar. Walaupun masih ada individu yang gemar akan rasanya, hidangan juadah otak lembu yang berusia lebih 30 bulan adalah salah di sisi undang-undang negara itu.

2. Escamole

Diambil daripada akar pokok Agave, Escamole dianggap sebagai sebuah hidangan lazat di Mexico. Turut dikenali sebagai ‘kaviar serangga’, Escamole yang merupakan hidangan larva semut ini dikatakan mempunyai rasa seakan-akan mentega kacang.

3. Hakarl

Chef Anthony Bourdain menggambarkan makanan ini sebagai makanan yang paling menjijikkan yang pernah dirasai olehnya. Mudah ditemui di Iceland, Hakarl merupakan daging ikan yu yang telah ditapaikan.

4. Ikizukuri

Hidangan ini telah diharamkan di beberapa negara termasuk Australia dan Jerman kerana bersifat kejam. Manakan tidak, Chef akan menghiris nipis badan ikan sebaik sahaja ikan itu dipilih oleh pelanggan. Ia dihidangkan semasa jantung ikan itu masih lagi berdenyut.

5. Udang Mabuk

Mendapat nama melalui kaedah penyediaannya, udang ‘dipengsankan’ dengan cara memasukkan haiwan itu ke dalam arak yang kuat sebelum ia dimakan hidup-hidup. Makanan yang berasal dari negara China ini turut popular di negara Amerika Syarikat.

6. Surströmming

Sebuah kajian oleh negara Jepun telah menamakan makanan ini sebagai makanan yang paling berbau di seluruh dunia. Surströmming yang berasal dari Utara Sweden merupakan hidangan ikan Herring yang telah ditapai. Gas yang terhasil melalui proses penapaian yang berterusan ini mampu mengembangkan tin makanan itu. Surströmming selalunya dimakan di luar rumah dan dilarang untuk dibawa menaiki kapal terbang.

7. A-Ping

Mula popular semasa zaman pemerintahan rejim Khmer Rouge yang kejam, hidangan berasaskan tarantula goreng ini masih dinikmati di Cambodia dan dimakan seolah-olah ia hanyalah gula-gula.

8. Rocky Mountain Oyster

Walaupun makanan ini dinamakan oyster iaitu tiram, hidangan ini bukanlah seperti yang disangka. Rocky Mountain Oyster ini sebenarnya hidangan testikel anak lembu yang telah dikupas, dipenyekkan dan digoreng rangup.

9. Fugu

Hidangan ini dihasilkan daripada ikan buntal yang berbisa. Undang-undang di Jepun menetapkan setiap chef yang menghasilkan makanan ini haruslah menjalani latihan dan memperoleh sijil. Ikan buntal ini amatlah berbahaya dan terdapat beberapa kes kematian disebabkan penyediaan ikan ini di rumah.

10. Lutefisk

Di Skandinavia, makanan ini dihasilkan hanya menggunakan dua jenis bahan; sejenis ikan kod dan sejenis bahan beralkali bernama lai. Setelah ikan dikeluarkan dari campuran lai, ikan ini berupaya menghakis dalaman manusia. Oleh kerana itu, ia perlu direndam terlebih dahulu di dalam air sejuk sebelum dijamah dengan selamat.

11. Casu Marzu

Berasal dari Sardinia, hidangan ini adalah sejenis keju yang diperbuat daripada susu kambing biri-biri. Apa yang unik mengenai makanan ini adalah di dalamnya terdapat larva serangga yang masih hidup. Walaupun larva ini hanya berukuran 8mm, ia mampu melarikan dirinya sejauh 15cm apabila disentuh.

12. Mopane

Namanya diambil daripada Pokok Mopane, ulat beluncas ini menjadi sumber protein yang penting buat penduduk di Afrika. Selalunya, ulat ini akan dikeringkan sebelum dijadikan snek rangup.

13. Mata ikan tuna

Sering ditemui di kebanyakan pasar di Jepun, hidangan mata tuna ini boleh didapati dengan harga yang sangat murah. Dengan anggaran harga RM4 bagi satu mata, hidangan ini dikatakan mempunyai rasa seakan-akan sotong.

14. Haggis

Hanya satu sahaja bahan yang diperlukan untuk menghasilkan hidangan tradisi Scotland ini iaitu kambing. Makanan ini terdiri daripada jantung, hati dan paru-paru kambing yang direbus di dalam perut kambing selama tiga jam.

15. Jantung puffin

Puffin merupakan sejenis haiwan dari spesies Auk yang mendiami kawasan utara hemisfera bumi. Jantungnya merupakan hidangan yang enak di Iceland. Selalunya jantung haiwan ini dimakan secara mentah-mentah.

Walaupun sesetengah makanan ini menjadi makanan istimewa di sesetengah negara, ada antara bahan yang digunakan adalah daripada spesies haiwan terancam seperti Puffin dan ikan yu. Berdasarkan rekod oleh State of The World’s Bird, Puffin telah disahkan menjadi spesies burung yang terancam. Sejenis spesies ikan yu yang bernama Greenland Sharks pula sudah diisytiharkan hampir diancam kepupusan.

Artikel Lain Untuk Di Baca