“Jantung Boleh ‘Terbang’ Sampai Hospital”, Ini Reaksi Doktor Terhadap Babak Perubatan Dalam Drama Tamil

Filem Tamil sememangnya terkenal dengan aksi-aksi yang kadang tidak boleh diterima akal dan mustahil. Apabila menonton filem atau drama kita sering tertarik perhatian dengan babak pertempuran dan babak perubatan yang mengetengahkan unsur hiperbola yang melampau. Kadang kala kesalahan yang dilakukan terlalu menggelikan hati sehingga rosak adegan yang sepatutnya sedih.

Bagi mereka yang pakar dalam sesuatu bidang seperti bidang perubatan, pengalaman menonton filem atau drama sangat mendatangkan ketidakpuasan hati apabila adegan yang ditayangkan adalah kontra dengan fakta sebenar.

Kali ini para doktor telah membuat rakaman reaksi mereka terhadap kesalahan-kesalahan babak perubatan yang terdapat dalam drama Tamil.

1. Pisang Sebagai Pisau

Dalam babak filem Singam 123 ini, seorang pegawai polis menggunakan sebiji buah pisang sebagai senjata untuk membunuh penjahat. Memang tak masuk akal.

Menurut Dr Zainal Adwin, memang tidak logik apabila buah pisang yang lembut isinya itu boleh dijadikan senjata tajam membunuh manusia.

“Memang takkan jadilah sebab pisang dikenali sebagai benda yang lembut.”

Menurut Dr Nooreen pula, babak di mana pengawai polis tersebut mengelar bahagian trakea penjenayah sehingga menyebabkan darah keluar dan terpercik dengan banyak adalah kurang tepat.

“Sebenarnya kalau kita potong di kawasan dekat trakea, darah tidaklah keluar banyak sampai terpercik sebab kita punya arteri kebanyakannya di bahagian kiri dan kanan trakea kita.”

2. Jari digilis oleh kereta api tetapi tidak putus

Babak ini menunjukkan seorang lelaki yang baring di tepi landasan kereta api sambil meletakkan jari tangannya di atas landasan itu dan dibiarkan digilis oleh kereta api. Namun, yang menghairankan apabila jari-jarinya hanya luka sahaja seperti jatuh basikal.

Menurut Dr Nooreen, sepatutnya jari-jari lelaki itu akan putus kerana digilis oleh kereta api yang sangat berat dan bergerak laju.

“Percayalah cakap saya, ini bukannya patah sepatutnya terus putus jarinya itu. Kalau tengok kat sini (dalam babak) jarinya luka sikit macam jatuh basikal.”

3. Seorang wanita di tembak di kepala

Dalam filem Chandralekha pula menayangkan babak seorang wanita di tembak tepat di kepalanya. Jikalau mengikut logiknya, wanita ini akan terus mati. Namun, dalam babak ini, wanita tersebut masih sempat menaiki kereta dan berswafoto bersama rakannya.

Menurut Dr Zainal, babak ini sememangnya takkan berlaku apabila orang yang sudah ditembak tepat di kepala masih hidup dalam jangka masa yang agak lama.

“Memang takkan berlakulah, terutama sekali apabila dia kena tembakan tepat di bahagian depan kepala (frontal cortex) yang akan masuk ke bahagian otak yang mengawal pernafasan dan perlihatan.”

Tambahnya lagi dengan berseloroh, “Taktau lah mungkin peluru itu yang kurang berkualiti, lama sangat dia hidup lepas kena tembak dan tak mati-mati lagi.”

4. Jantung ‘terbang’ buatan sendiri

Babak dalam filem Hrudaya Kaleyam ini boleh dikatakan babak paling tidak logik di dunia. Babak ini dimana seorang lelaki ini mencipta jantung untuk menyelamatkan seorang wanita yang memerlukan penderma organ itu. Lelaki itu membawa jantung tersebut dengan hanya menggunakan tangan dan berlari ke hospital.

Ketika dalam perjalanan, lelaki itu telah dipukul dan kemudiannya dia mencampakkan jantung tadi sehinggalah terpelanting masuk ke dalam hospital dan menuju ke bilik pembedahan. Bukan itu sahaja, yang paling tidak boleh terima dek akal apabila jantung itu terus masuk ke dalam tubuh wanita tadi dan berfungsi tanpa dijahit.

Permasalahan dalam babak ini apabila lelaki itu mencipta jantung sendiri dengan saiznya yang agak besar dan hanya mempunyai 3 cabang sahaja.

Sedangkan untuk jantung yang normal ia mempunyai 4 cabang. Satu cabang di mana darah dipam keluar daripada jantung ke seluruh sel badan dan kembali semula ke satu cabang yang lain. Manakala satu cabang yang lain merupakan laluan darah yang keluar ke paru-paru dan kembali ke jantung melalui cabang yang lain.

Dalam babak seterusnya ini sangat mengelikan hati apabila jantung itu boleh memecahkan cermin hospital. Ini reaksi Dr Nooreen dan Dr Zainal:

“Bila anda baling jantung ke cermin, jantung itu akan terpantul balik sebab jantung tak keras dan ia sangat lembut.” -Dr Nooreen

“Tu diaa, terpelanting, lantun sampai ke hospital terus masuk dalam badan tak payah jahit, tak payah apa terus jalan. Ini memang kalau adalah teknologi ini memang kita tak perlukan doktor ramai-ramai.”-Dr Zainal

Rumusannya, babak-babak dalam filem atau drama tamil ini dianggap 90 peratus tidak masuk akal.

Sudah menjadi lumrah sifat manusia apabila suka menonton aksi yang menarik, seronok dan mencuit hati. Namun, bagi orang awam mungkin mereka menjadikan babak perubatan di dalam filem-filem sebagai kejadian dan cara perubatan yang benar sedangkan ia sama sekali terpesong daripada fakta.

Para doktor mengharapkan media-media sebegini sepatutnya dijadikan sebagai saluran penyampaian pembelajaran yang sebenar. Mereka juga menyarankan supaya jika mahu membuat babak perubatan di dalam filem biarlah nampak realistik dan rujuk kepada pakar.

Artikel Lain Untuk Di Baca