Jangan Silap Bezakan Visa Umrah Dan Visa Pelancong, Pemuda Ini Kongsi Kisah Rakan Ditipu Pihak Agensi Pelancongan

Menunaikan umrah dan haji sememangnya menjadi impian buat semua insan yang beragama Islam. Mengunjungi Makkah di samping dapat melihat dan merasai sendiri situasi tanah suci yang pernah menjadi tempat para anbiya’ sewaktu dahulu pasti mudah membuatkan hati jemaah terusik.

Namun, perlu diingatkan tidak semua agensi umrah masa kini boleh dipercayai. Sebagaimana kisah yang dikongsikan oleh seorang pemuda menerusi akaun Facebooknya iaitu Najmi Farisham, agensi umrah yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga kebajikan dan urusan jemaahnya difahamkan telah ‘lepas tangan’.

Insiden ini dikatakan terjadi terhadap keluarga rakannya sendiri sewaktu menunaikan umrah.

Apakah yang berlaku terhadap keluarga ini? Awal cerita bermula apabila lelaki dan tiga ahli keluarganya berhajat untuk menunaikan umrah di tanah suci. Bagaimanapun, keadaan bapa kepada lelaki berkenaan dikatakan tidak begitu sihat berikutan sakit buah pinggang yang dialaminya.

Namun demikian, mereka sekeluarga tetap berusaha mencari pihak agensi umrah yang boleh membawa mereka ke tanah suci di samping menguruskan bapa mereka dari segi perubatan bagi keperluan dialisis buah pinggangnya.

Setelah ditolak oleh beberapa buah agensi pelancongan, hajat mereka sekeluarga hampir tertunai apabila sebuah agensi pelancongan ini sanggup membawakan mereka ke tanah suci.

Namun segalanya tidak seperti yang diucapkan apabila setibanya mereka di sana, keluarga itu dikehendaki untuk menguruskan keperluan perubatan bapanya sendirian.

Lebih parah lagi, mereka hanya dihantar sehingga ke pintu kecemasan hospital sahaja tanpa disertai dengan juru bahasa. Menyedari kekurangan mereka untuk berkomunikasi dalam bahasa Arab, lelaki yang juga merupakan rakan kepada Najmi segera menghubungi Najmi.

Najmi kemudiannya diberitahu oleh pihak hospital untuk melaksanakan bayaran tambahan terlebih dahulu sebelum membuat dialisis. Pemuda ini begitu hairan dan bertanya tentang visa umrah rakan dan keluarganya.

Untuk pengetahuan semua, menunaikan umrah dengan menggunakan visa umrah tidak akan dikenakan sebarang bayaran bagi perkhidmatan perubatan. Sebaliknya, dengan penggunaan visa pelancong, kesemua urusan termasuk pembiayaan hal perubatan harus dilunaskan dengan simpanan sendiri atau pun menerusi pihak insurans.

Ternyata, visa yang dimiliki oleh rakan Najmi sekeluarga ialah visa pelancongan. Menurut pemuda ini juga, keseluruhan jumlah bagi urusan dialisis sebanyak empat kali itu menelan kos sebanyak SAR3880 iaitu bersamaan dengan RM4308.66.

Seharusnya, pihak pelancongan sudah bersiap sedia sekiranya terdapat beberapa jemaah mereka yang akan jalani rawatan sepanjang di Makkah dan Madinah. Pesakit buah pinggang memerlukan pelaksanaan rawatan dialisis sekurang-kurangnya 3 hari sekali.

Sungguh kasihan dengan apa yang menimpa mereka sekeluarga. Semoga Allah mempermudahkan urusan dan mengurniakan lebih banyak rezeki kepada mereka sekeluarga selepas ini.

Maka, para pembaca yang berhajat untuk menjejakkan kaki ke tanah suci pastikan terlebih dahulu selidik sama ada agensi tersebut menggunakan visa umrah atau visa pelancong. Ini merupakan hal paling penting kerana kadang-kala tidak dinyatakan dalam iklan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca