“Jangan Penting Diri!” Tindakan Segelintir Rakyat Malaysia Penuhi Pasar Raya Cetus Kemarahan Warganet

Kes mangsa berjangkit COVID-19 di Malaysia kian hari semakin meningkat dan ia mencetuskan perasaan panik dalam kalangan rakyat Malaysia. Setelah tularnya berita palsu tentang kemungkinan berlakunya perintah berkurung di Malaysia, segelintir daripada mereka bertindak melakukan panic buying di pasaraya terdekat.

Melalui perkongsian di Twitter, beberapa pasaraya kelihatan dibanjiri orang ramai yang membeli barang keperluan dengan jumlah yang banyak atas alasan ingin bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan berlakunya perintah berkurung.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu mencetuskan kemarahan warganet yang merasakan ia satu perlakuan yang mementingkan diri. Sekiranya mereka membeli barang tanpa kawalan ia akan memberi kesan yang buruk kepada mereka yang dalam golongan tidak mampu dan kepada mereka yang betul-betul memerlukan barang keperluan tersebut.

Malah, tindakan itu juga berisiko tinggi kerana peluang untuk anda berjangkit lebih mudah akibat orang ramai berkumpul di satu kawasan tanpa anda ketahui tahap kesihatan mereka.

Selain itu, pihak kementerian juga menasihati orang ramai untuk tidak membeli barangan dengan jumlah yang banyak kerana ia boleh mengakibatkan kenaikan harga barang dan memberi kesan yang buruk kepada bekalan di negara kita.

Diharapkan rakyat Malaysia dapat mengawal diri daripada membeli barang keperluan lebih dari jumlah yang diperlukan dan memikirkan nasib mereka yang lebih memerlukan.

Tidak semua orang mampu lakukan pembelian secara banyak seperti ini dan perlu difahami situasi pandemik ini tidak akan menjejaskan bekalan harian jika semua orang bekerjasama dan lebih prihatin. Panic buying bukan jalan penyelesaian, sebaliknya social distancing patut diutamakan untuk elakkan berlakunya jangkitan.

Sentiasa membasuh tangan anda dengan sabun dan memakai penutup mulut jika anda mempunyai simptom seperti batuk dan selsema untuk elakkan anda menjadi ejen penyebar virus. Elakkan mencetus panik dengan menyebar berita palsu tanpa pengesahan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan kerajaan.

Semoga Tuhan merahmati rakyat Malaysia.

Untuk membaca artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca