Jangan Pandang Rendah Individu Kemurungan, Ini 7 Kata Perlu Elak Sewaktu Interaksi Dengan Pesakit

Penulis: Muhammad Wa’iz dari Hello Doktor

“Mudah sangat koyak”

“Alah, masalah kecik sahaja. Itu pun nak tekanan bagai”

“Sikit-sikit nak tekanan, lepas itu jadi gila”

Sering dengar ungkapan seperti ini? Atau anda merupakan salah seorang yang mengungkapkannya kepada individu lain tatkala mereka mengalami masa-masa sukar?

Ungkapan tersebut timbul daripada sikap menghakimi orang lain dan tidak menganggap masalah yang dialami oleh individu berkenaan sebagai sesuatu yang serius. Sikap memerli dan merendah-rendahkan individu yang bermasalah sering mendorong kita mengatakan ungkapan tidak membina seperti di atas.

Apakah definisi kemurungan?

Tahukah anda? Setiap 40 saat akan terdapat seorang individu yang kehilangan nyawanya akibat bunuh diri. Kebanyakan kes bunuh diri ini berpunca daripada kemurungan. Kadangkala, ungkapan ayat seperti di atas membuatkan keadaan menjadi semakin teruk sehingga meragut nyawa seseorang.

Depression atau kemurungan merupakan satu keadaan kesihatan iaitu perasaan sedih yang melampau dan kehilangan minat terhadap sesuatu perkara. Ia memberi kesan negatif terhadap individu merangkumi aspek perasaan, pemikiran atau tindakan yang boleh mengakibatkan masalah fizikal atau mental. Ia turut mengurangkan kemampuan seseorang ketika berada di rumah mahupun tempat kerja.

Sekiranya berhadapan dengan individu yang mengalami kemurungan, elakkan daripada mengucapkan ayat yang mengguris perasaan mereka. Berikut merupakan perkara yang tidak sepatutnya disebutkan kepada pesakit:

1. “Sentiasalah positif”

Anda perlu faham bahawa setiap perkara yang kelihatan positif pada anda tidak semestinya sama dengan persepsi individu kemurungan. Malah, perkara yang kelihatan mengarut pada anda berkemungkinan tinggi untuk dilakukan oleh mereka ketika mengalami masalah. Tambahan lagi, anda sendiri belum arif mengenai langkah-langkah untuk kekal positif.

2. “Janganlah fikir macam itu”

Ungkapan ini seakan menidakkan kebenaran mengenai apa yang difikirkan oleh mereka. Tindakan mengucapkan ayat seperti ini mudah membuatkan mereka berfikir dengan tidak rasional. Mereka mungkin tidak bersependapat dengan idea dan pemikiran anda. Ia seolah-olah menunjukkan bahawa mereka melakukan kesalahan kerana berfikir dengan cara yang sedemikian.

3. “Kenapa perlu rasa murung bagai”

Ini merupakan antara kesilapan kata yang perlu anda elakkan. Mengapa? Kerana individu tidak mengetahui mengapa mereka menjadi murung. Ia seolah-olah bertanyakan soalan kepada seseorang yang tiada jawapan untuk diberikan. Mereka juga tidak tahu bagaimana untuk keluar daripada masalah yang sedang dialami.

4. “Buatlah sesuatu untuk buatkan kau rasa lebih baik”

Kebiasaannya, individu yang mengalami masalah atau kemurungan akan hilang minat untuk melakukan sesuatu perkara. Mereka tidak suka diganggu, cepat letih, tiada tenaga dan hanya mahu melakukan sesuatu yang boleh melupakan masalah seperti tidur. Pesakit berkemungkinan berasa lebih tertekan jika anda sering mengarahkan mereka untuk melakukan sesuatu.

5. “Orang lain ada masalah lagi berat daripada kau. Bersyukurlah sedikit”

Mudahnya berkata begitu sedangkan beban masalah yang ditanggung oleh individu tersebut tidak seperti mata kasar manusia normal. Sewaktu mengalami detik beremosi, perbandingan seperti ini akan membuat mereka berasa malu kerana mempertikaikan keupayaan mereka dalam menghadapi masalah. Perasaan kecil hati yang dirasakan oleh mereka menjadikan mereka menjauhkan diri daripada kita.

6. “Cuba lebih kuat lagi”

Anda pasti mereka telah berusaha bersungguh-sungguh atau tidak untuk menguruskan masalah yang dialami? Hal ini tidak mudah untuk diukur. Jika usaha tersebut belum cukup kuat pada anda sebaliknya mungkin berada pada tahap tertinggi melebihi had kemampuan pesakit.

Perlu diingat bahawa kemampuan setiap individu adalah berbeza dan tidak adil untuk membandingkan keupayaan mereka dengan orang lain. Ungkapan seperti ini hanya akan membuatkan seseorang yang mengalami kemurungan akan berasa lebih mudah untuk berputus asa dan tidak berfikiran positif.

7. “Cerialah sikit”

Ini mungkin dianggap sebagai cara selamat untuk menggembirakan mereka yang mengalami kemurungan. Walau bagaimanapun, anda tidak boleh memaksa otak mereka untuk menghasilkan lebih banyak serotonin supaya kembali gembira. Jika benar ungkapan ini berkesan, sudah tentu ramai pesakit kemurungan akan kembali ceria dengan mudah.

Kesimpulannya, cara kita melihat dunia adalah berbeza bagi setiap individu. Ramai yang meraikan perbezaan pendapat jika terdapat pertelagahan dalam sesuatu situasi, namun tidak ramai yang mampu memberi sokongan kepada pesakit kemurungan.

Kita lebih mudah untuk membuat kesimpulan awal terhadap mereka yang bermasalah seperti tidak cukup kuat, lemah atau bersifat negatif. Tidak kurang juga antara kita yang mengaitkan pesakit kemurungan dengan tahap keimanan mereka.

Sikap ini jelas menunjukkan bahawa kita kurang memiliki sifat empati dalam memahami sesuatu perkara apatah lagi membantu mereka yang memerlukan sokongan mental. Oleh itu, jangan sesekali menggunakan kata-kata berbentuk perlian sehingga boleh merendahkan individu lain kerana setiap daripada kita mempunyai kemampuan dan keunikan yang berbeza.

Sebagai makluman, topik ini turut dibincangkan menerusi Lejen TV dengan seorang individu yang pernah mengalami masalah demikian. Untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan realiti stigma masyarakat kini terhadap golongan pesakit mental, anda boleh tonton video berikut:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca