“Jangan Mimpi Dapat Beli UMNO Kelantan.” – Datuk Ahmad Jazlan Yaakub

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Kelantan berpegang teguh dengan pendirian di bawah Muafakat Nasional dan menegaskan bahawa tidak mungkin mereka dapat ‘dibeli’ oleh mana-mana pihak meskipun situasi politik kini semakin kritikal.

Pengerusi UMNO Kelantan iaitu Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mengatakan bahawa UMNO dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak akan sesekali berganjak daripada ikatan Muafakat Nasional. Mereka sebaliknya akan cekal hati serta istiqamah dalam perjuangan ini demi agama, bangsa dan negara.

Sumber: Sinar Harian

“Saya yakin wakil rakyat BN dan PAS cekal hati. Ahli Parlimen semua cekal. Yang lompat sudah lompat, tiada istilah akan dibeli lagi sebab kita yakin semuanya berpegang teguh pada janji. Demi agama dan bangsa, tidak akan berganjak walau seinci pun,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-9 Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi).

Menurut beliau, UMNO Kelantan tidak akan sesekali memberi ruang kepada mana-mana pihak yang berniat untuk merosakkan kesatuan dan penyatuan parti itu dengan PAS kerana gabungan berkenaan tekad akan mengharungi segala onak duri bersama.

Tambah beliau lagi, UMNO Kelantan tidak akan hilang fokus demi membuktikan muafakat tersebut kepada seluruh rakyat Malaysia.

“UMNO Kelantan berdiri teguh bersama Presiden (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) walaupun UMNO dilempar dengan pelbagai tuduhan kononnya merompak kuasa dan sebagainya. Saya tidak faham kenapa UMNO dipersalahkan dalam hal ini dan kita sudah dua tahun menjadi pembangkang. Kami telah lemas di lautan, kenapa anda di daratan pula yang karam?”

“Yang berpecah ini Pakatan (Pakatan Harapan), kita tidak pernah menghasut Pakatan untuk berpecah dan tidak pernah suruh mereka keluar parti. Inikan pula untuk minta Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan.”

“Apabila mereka hancur, mereka salahkan kita. Kita tidak pernah rancang meruntuhkan kerajaan sekarang. Bila Presiden dipanggil oleh Tun (Dr. Mahathir), sekali lagi Presiden dilemparkan dengan pelbagai tohmahan konon kita mahu bentuk kerajaan pintu belakang. ‘Rumah’ sudah tiada pintu sebab ‘rumah’ sudah runtuh,” kata beliau.

Untuk baca artikel lain berkenaan kemelut politik negara, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca