Jangan Biarkan Malaysia Dilanda Gelombang Ketiga Seperti Tsunami – Ketua Pengarah Kesihatan

Hari ini Perintah Kawalan Pergerakan telah pun berkuat kuasa, namun begitu masih ramai masyarakat yang mengambil sikap tidak endah dengan pergi ke kedai makan dan pasar untuk tempoh masa yang lama.

Ini mencetuskan kebimbangan dari Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah yang merayu supaya rakyat Malaysia lebih bertanggungjawab dan tidak keluar rumah sepanjang perintah itu berkuat kuasa.

“Kita mempunyai peluang yang tipis untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19. Bantulah KKM dengan memainkan peranan anda, kerana setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah, berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga.”

“Saya merayu kepada semua rakyat Malaysia, sila ambil perintah kawalan pergerakan ini secara serius. Duduk di rumah dan jangan keluar.”

“Jika tidak, kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini, yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami, lebih-lebih lagi, jika kita mempunyai sikap “tidak kisah,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook rasminya.

Untuk rekod, Perintah Kawalan Pergerakan ini dikuat kuasa selama 14 hari bermula hari ini selepas diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin yang lalu.

Antara larangan yang terlibat ialah larangan pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara seperti di rumah ibadat dan majlis perkahwinan.

Selain itu, semua premis kedai diarahkan untuk tutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan seharian.

Premis kerajaan dan swasta juga perlu ditutup kecuali yang membabitkan perkhidmatan penting negara.

Semalam negara dalam keadaan panik apabila ramai yang menyerbu pasar raya dengan melakukan pembelian panik dan kesesakan yang berlaku di balai polis berikutan arahan untuk mendapatkan permit pergerakan rentas negeri dilakukan.

Arahan itu kemudian ditarik semula susulan kesesakan yang berlaku di setiap balai polis di seluruh negara. Diharapkan masyarakat patuh dengan arahan pihak berkuasa dan menjaga kesihatan diri dan keluarga. Lindungi satu sama lain dengan duduk di rumah.

Semoga Tuhan lindungi Malaysia.

Untuk membaca artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca