“Jangan Beria Bela Kucing Sewaktu Tempoh PKP Sahaja.” – Kelab Kucing Malaysia

Orang ramai yang mengambil keputusan untuk membela kucing sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dituntut agar bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan haiwan peliharaan masing-masing.

Menurut Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM) iaitu Khalid Rashid, pihaknya berbesar hati apabila ramai yang mula menunjukkan minat untuk membela kucing sebagai peneman di rumah sepanjang saat getir ini, namun pada masa yang sama berharap agar pemilik dapat menunaikan tanggungjawab sepanjang masa.

“Sepanjang PKP dan PKPB, ramai yang mula berminat untuk bela kucing. Apabila kami iklankan kucing yang diselamatkan untuk diambil sebagai peliharaan, respons orang ramai sangat baik.

Tetapi dalam masa yang sama, saya harap pemilik-pemilik baharu ini dapat menanamkan rasa sayang dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kucing peliharaan mereka.

Bela kucing merupakan satu tanggungjawab besar. Saya harap selepas tamat PKPB ini, tidak ada mana-mana pihak yang buang kucing dengan alasan tak boleh jaga kerana sibuk dengan kerja,” kata Khalid Rashid seperti yang dilaporkan Astro Awani.

Dia yang mesra disapa sebagai Pak Khalid itu mengakui bahawa arahan kerajaan ini (PKP dan PKPB) sekali gus menyaksikan pertambahan kucing di jalanan.

“Saya sendiri tidak pasti mengapa kucing-kucing ini dibuang. Mungkin ada salah faham berkenaan kaitan virus COVID-19 dengan kucing di peringkat awal dulu.

“Tetapi sekarang kita sudah diberitahu tak ada masalah untuk bela kucing dengan syarat sentiasa jaga kebersihan, jadi saya harap selepas ini tak ada lagi kes-kes buang kucing,” ujarnya.

Tambah Pak Khalid lagi, KKM sentiasa cuba membantu para penyelamat haiwan jalanan terutama sekali yang berada di bawah naungan kelab itu bagi memastikan mereka tidak kehabisan bekalan makanan dan sumber kewangan.

“Ada enam organisasi penyelamat kucing jalanan yang kami bantu kerana mereka mengalami sedikit kesukaran dalam tempoh PKP dan PKPB ini.

Mereka (rescuer) ini kebanyakannya bergantung dengan sumbangan orang ramai. Sepanjang PKP dan PKPB ini, sumbangan sedikit berkurangan dan kita faham situasi itu.

Kami bekerjasama dengan syarikat pengeluar makanan kucing bagi membantu rescuer yang terjejas, sekurang-kurangnya memastikan bekalan makanan kucing-kucing tidak putus,” katanya.

Menurut Pak Khalid lagi, KKM tetap gigih meneruskan kerja-kerja menyelamat kucing sepanjang PKP dan PKPB.

“Kami mendapat kerjasama sangat baik daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan polis untuk meneruskan aktiviti memberi makan kucing jalanan, asalkan kami mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Pada masa yang sama, Pak Khalid juga menyimpan harapan tinggi untuk melihat tiada lagi kes pembuangan kucing semasa musim perayaan.

“Saya harap tabiat buruk membuang kucing demi nak balik kampung dihentikan tahun ini. Janganlah jadi pemilik yang tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan,” ujarnya.

Bagi mereka yang ingin memberi sumbangan untuk membantu kucing-kucing jalanan, anda boleh mengunjungi laman Facebook Kelab Kucing Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Untuk baca artikel-artikel lain berkenaan haiwan bernama kucing ini, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca