“Jangan Ada Campur Tangan”, Ibu Bapa Muhammad Adib Harap Keputusan Esok Diadili Sepenuhnya

“Saya tidak pernah berhenti berdoa untuk anak saya.”

Demikian luahan seorang wanita iaitu Asma Aziz yang merupakan ibu kepada Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meletakkan setinggi-tinggi harapan agar keputusan inkues pada Jumaat akan diadili sepenuhnya. Arwah anaknya yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah dalam rusuhan ketika kekecohan yang berlaku di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Pengumuman keputusan bagi prosiding inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib yang bakal berlangsung di Mahkamah Koroner Shah Alam dijadualkan pada jam 9 pagi esok selepas Koroner Rofiah Mohammad pada 24 Julai lalu memutuskan untuk menamatkan sesi inkues apabila berpuas hati dengan keterangan kesemua saksi.

“Tiap-tiap saat saya tak pernah lupa. Masa pergi Makkah pun itu hal yang pertama saya doa dulu. Esok makcik akan pergi pagi dan kita pun ada buat bacaan Yassin di masjid,” katanya seperti yang dilaporkan Astro Awani.

Sementara itu, bapa kepada Allahyarham iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid sememangnya berharap agar proses tersebut dapat dijalankan dengan adil dan tanpa diganggu oleh mana-mana pihak.

“Kita minta tiada campur tangan orang yang tak sepatutnya dan itu yang kita harapkan sangat,” katanya.

Untuk rekod, seramai 30 orang saksi termasuk beberapa saksi pakar sudah dipanggil memberi keterangan sewaktu prosiding inkues bermula 11 Februari lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Sumber:
Astro Awani

Artikel Lain Untuk Di Baca