Jambatan Angkat Terengganu Dibuka Hari Ini

Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang bernilai RM248 juta itu menghubungkan muara selatan di pusat bandar raya Kuala Terengganu dan muara utara di Seberang Takir telah dibuka pada hari ini untuk orang awam.

Kerajaan negeri telah melantik Terengganu Incorporated Sdn Bhd sebagai operator manakala pihak kontraktor utama masih berada di tapak projek untuk memberi latihan sehingga 30 September ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua jenis kenderaan dibenarkan menggunakan laluan di jambatan berkenaan.

Bagaimanapun, pengguna tidak dibenarkan meletakkan kenderaan atau berhenti bagi mengelak kesesakan serta mengganggu kelancaran aliran trafik. Para pengunjung yang ingin melawat diminta meletakkan kenderaan mereka di ruang parkir yang disediakan di bawah jambatan dan menggunakan tangga atau lif.

Menurut Ahmad Samsuri, ruang komersial di ‘sky bridge’ masih belum dibuka dan pengunjung tidak dibenarkan memasuki ruang lobi dan menggunakan tangga atau lif di menara jambatan tersebut.

Beliau berkata, pembukaan jambatan ikonik itu bakal memberi impak kepada sektor pelancongan negeri dengan memberi nilai tambah. Ia seterusnya mampu merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat di samping memperkenalkan Terengganu di mata dunia.

Jambatan angkat pertama di Asia Tenggara sepanjang 638 meter itu mula dibuka kepada orang awam untuk percubaan pada 2 hingga 17 Jun lalu.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca