Jam Tangan, Lebih Baik Dipakai Sebelah Kiri Atau Kanan?

Perkongsian ini kisah daripada teman saya dengan cikgunya berkenaan jam tangan. Kisahnya bermula apabila cikgunya melihat beliau memakai jam tangan sebelah kiri lalu beliau ditegur oleh cikgu. Jadi dengan rasa hormat beliau menukar jam tangan daripada tangan kiri ke tangan kanan.

Beliau berfikir, malah tertanya-tanya pada diri, kenapa cikgu menyuruhnya memakai jam tangan sebelah kanan, dan salah ke pakai di sebelah kiri?

Pada mulanya cikgunya tidak menjawab, lalu beliau bertanya lagi?

“Kenapa cikgu menyuruh saya memakai jam tangan di sebelah kanan?”

Jawab cikgunya.

“Rasulullah S.A.W suka kita buat apa-apa perkara yang membawa kepada kebaikan dengan memulakan anggota di sebelah kanan terlebih dahulu. Contohnya, memakai kasut dengan kaki kanan, masuk ke masjid dengan kaki kanan, makan dan minum juga dengan menggunakan tangan kanan. Jadi, begitu juga dengan memakai jam tangan.”

“Saya berikan contoh, kalau sekali kamu gunakan jam yang berada di tangan kanan untuk melihat dan mengetahui waktu solat, di situ pun akan dicatit 1 kebaikan ke atas kamu. Cuba kamu bayangkan, kalau dalam sehari kamu melihat jam yang berada di tangan sebelah kanan untuk memastikan waktu solat fardhu kamu terjaga dengan baik, maka, sudah tentu akan lebih banyak kebaikan yang mungkin Allah akan berikan kepada kamu pada hari tersebut. Sebab apa? Sebelum kamu melakukan ibadah, kamu mendahuluinya dengan melihat waktu solat pada jam yang berada di tangan sebelah kanan kamu.”

Lihat, nampak mudah, tetapi ada kebaikan yang tersembunyi di situ. Tidak rugi dan pelik pun mengenakan jam tangan di sebelah kanan. Malah ia lebih menguntungkan.

Jadi, sesiapa dalam kalangan anda yang memakai jam tangan di sebelah kiri, jom cuba beralih arah sebelah kanan pula.