Jalankan Misi Kemanusiaan, Ustaz Ebit Lew Dapat Kelulusan Untuk Ke Mesir

Pendakwah terkenal Malaysia, Ustaz Ebit Lew, telah mendapat kelulusan perjalanan ke Mesir atas tujuan menjalankan misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata dalam satu kenyataan bahawa pihaknya telah menerima panggilan daripada pendakwah terulung tersebut bagi memaklumkan misi kemanusiaannya yang dirancang bermula 25 hingga 30 Mei.

Misi itu telah mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada SOP semasa yang perlu dipatuhi termasuk apabila kembali pulang ke Malaysia.

Misi kemanusiaan ke Mesir ini dikatakan bertujuan untuk memberi sumbangan kepada rakyat Palestin yang terkesan teruk susulan daripada serangan rejim Israel ke atas Gaza.

Urusan misi berkenaan telah dirancang oleh delegasi Ustaz Ebit Lew secara terus dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Mesir.

Kamarudin turut berkata bahawa secara dasarnya, kementerian itu menyokong penuh usaha delegasi Ustaz Ebit Lew dan sentiasa mengalu-alukan rakan NGO yang lain untuk menurut serta dalam membantu rakyat Palestin termasuklah mewujudkan tabung pengumpulan dana.

Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun misi itu merupakan inisiatif sendiri, Ustaz Ebit Lew dinasihatkan untuk sentiasa berhubung, bekerjasama dan mendengar arahan keselamatan daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Mesir.

Ustaz Ebit Lew juga diingatkan agar sentiasa menepati segala peraturan, prosedur serta arahan keselamatan yang ditetapkan oleh tuan rumah.

“Selain membantu memudahkan usaha NGO, kerajaan juga melalui Kementerian Luar Negeri akan terus menggerakkan usaha bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin,” tambah Kamaruddin.

Dalam pada itu, Ustaz Ebit Lew telah memuat naik sekeping gambarnya dalam sebuah hantaran Facebook miliknya yang menunjukkan dirinya yang sedang memegang pasport dan tiket penerbangan.

Beliau berdoa dan meminta kepada rakyat Malaysia agar mendoakan segala urusannya dalam menjalankan misi kemanusiaan tersebut dipermudahkan.

Beliau turut menzahirkan rasa bersyukur dan penghargaannya terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Wisma Putra yang telah menyokong misi kemanusiaan itu.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut memuji usaha murni pendakwah itu dan delegasinya dalam sebuah ciapan di Twitter.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca