Jalani Pembedahan Selepas Parah Diserang Di Singapura, Kamal Adli Sudah Sedarkan Diri

Pelakon terkenal Kamal Adli dilaporkan telah selamat menjalani satu pembedahan dan mula sedarkan diri hari ini selepas dia cedera parah kerana diserang dan dipukul seorang individu tidak dikenali yang disangka peminat dalam satu insiden di Singapura semalam.

Aktres Uqasha Senrose memaklumkan menerusi hantaran di Instagram Story bahawa suaminya kini sedar dan masih mamai.

“Alhamdulillah Kamal dah sedar dan masih mamai. Harap semua doakan keselamatan kami dan juga keselamatan kalian. Akhir zaman. Yang lain Qasha dan Kamal serahkan pada polis untuk buat siasatan lanjut,” tulisnya.

Sumber: Instagram @uqashasenrose2

Memetik laporan Kosmo Digital, pelakon Bio-Nik itu diserang oleh seorang individu tidak dikenali ketika selesai menjayakan sebuah acara di Singapore Expo Hall, Singapura semalam.

“Suami saya Kamal Adli ditidurkan untuk major operation kerana koyak berlubang sangat dalam di kepala,” tulis Uqasha menerusi Instagram Story semalam.

Sumber: Instagram @kamaladli

Uqasha atau nama penuhnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen berkata insiden itu berlaku ketika mereka ingin pulang selepas terlibat dalam sebuah acara di Singapura.

“Ketika kami bergambar bersama seorang peminat, seorang lelaki tiba-tiba memanggil nama Kamal sebelum memukulnya berkali-kali di bahagian kepala, muka dan badan dengan cota (kapak India dengan pemegang panjang) serta senjata tajam sehingga cedera parah.

Kejadian tersebut berlaku di depan mata saya. Kami tidak kenal pun lelaki tersebut,” kata aktres itu.

Sumber: Instagram @uqashasenrose2

Bintang utama Setelah Terlafaznya Akad itu berkata individu yang telah menyerang suaminya itu sudah ditahan pihak polis Singapura selepas beberapa pengunjung dan pengendali gerai di Singapore Expo itu menahannya daripada melepaskan diri.

“Ketika kejadian berlaku, ahli keluarga saya semua ada di lokasi tersebut. Paling seram dia turut menjerit meninggalkan amaran kepada kami sekeluarga supaya berjaga-jaga dan memberitahu ada individu yang menghantarnya untuk menyerang kami,” tambahnya.

Selepas diserang dan mengalami banyak pendarahan, Kamal kemudiannya dikejarkan ke hospital. Kami di Lejen Digital mendoakan Allah SWT memberi kekuatan kepada Kamal Adli dan keluarga serta dia akan kembali pulih seperti sediakala. Semoga cepat sembuh!

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca